Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit beralih daripada prestasi pengukuhan awalnya apabila ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, susulan sentimen suram pasaran berikutan kebimbangan mengenai varian Omicron COVID-19, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.2110/2140 berbanding dolar AS daripada 4.2065/2110 pada akhir urus niaga semalam.

Seorang peniaga berkata para pelabur masih memantau rapat perkembangan berkaitan varian Omicron yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan global dan boleh meningkatkan inflasi selain pelaksanaan lebih banyak sekatan pergerakan.

“Sebarang sekatan pergerakan dan gangguan akan menjejaskan pemulihan ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan penggantungan sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia-Singapura, mulai esok hingga 20 Januari 2022.

Selain itu, negara jiran Thailand turut mengumumkan tindakan menggantung program kemasukan bebas kuarantin bagi mengelak penularan Omicron di negara itu manakala Indonesia akan terus meneliti langkah sedia ada untuk melindungi rakyatnya daripada COVID-19.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0832/0858 daripada 3.0828/0866 semalam, rendah berbanding pound Britain kepada 5.5964/6004 daripada 5.5732/5792 dan turun berbanding euro kepada 4.7521/7555 daripada 4.7508/7559.

Unit mata wang tempatan itu bagaimanapun naik berbanding yen Jepun kepada 3.6835/6865 daripada 3.7019/7062 pada akhir urus niaga semalam.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.