Ringgit dijangka terus berada di bawah tekanan
KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan tidak berubah tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu hadapan, menurut seorang penganalisis.
Beliau berkata, kenaikan hasil perbendaharaan AS dan jangkaan kadar faedah yang lebih tinggi berikutan pengumuman minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS untuk Disember memberi tekanan ke atas ringgit.
“Dengan mesyuarat pertama FOMC bagi tahun ini dijadualkan pada 25 hingga 26 Januari, pelabur akan memerhatikan hasil mesyuarat untuk keputusan kenaikan kadar. Oleh itu, saya mencadangkan jajaran 4.20 hingga 4.22 berbanding dolar AS pada minggu hadapan,” katanya kepada Bernama.
Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan lebih rendah kecuali Jumaat selepas pengukuhan harga minyak mentah memacu kekuatan ringgit.DISYORKAN UNTUK ANDA
Bagaimanapun, ia mengakhiri minggu dagangan pertama 2022 lebih rendah berbanding dolar AS pada 4.2070/2080 daripada 4.1650/1680 dalam minggu sebelumnya.
Mata wang tempatan itu juga diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0958/0981 daripada 3.0872/0899 dan lemah berbanding yen Jepun kepada 3.6320/6336 daripada 3.6186/6212 yang dicatatkan pada minggu sebelum ini.
Ringgit jatuh berbanding euro kepada 4.7602/7640 daripada 4.7194/7228 dan menurun berbanding pound British kepada 5.6999/7037 daripada 5.6277/6318.