Ribut kuat melanda UK, 2 maut

LONDON : Dua terbunuh sementara ribuan kediaman terputus bekalan elektrik ketika ribut kuat melanda utara United Kingdom (UK), menurut pihak berkuasa hari ini.

Sebahagian besar pemandu kenderaan pula terkandas di jalan raya semalaman berikutan air banjir yang membeku.

Seorang wanita dalam ciapan video di Twitter, memaklumkan penerbangannya dari Paris berdepan cabaran mendarat di Manchester, ketika angin kencang melanda semalam.

Jeritan penumpang kedengaran sebelum juruterbang membatalkan pendaratan pesawat, namun ia berjaya mendarat pada percubaan kedua.

Perkhidmatan meteorologi UK mengeluarkan amaran cuaca merah yang jarang berlaku ekoran ribut Arwen membawa tiupan angin hampir 160 kilometer sejam.

“Orang ramai perlu menjauhi pantai bagi mengelak ombak kuat serta serpihan yang berterbangan juga mengundang bahaya,” menurut amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi UK.

Menurut polis, dua lelaki maut apabila kereta mereka dihempap ​​pokok tumbang di dua lokasi berasingan di utara Ireland serta di Lake District, barat laut UK, semalam.

Angin ribut yang kuat menyebabkan 75,000 rumah masih terputus bekalan elektrik di Scotland hari ini, menurut syarikat utiliti negara itu.

Perkhidmatan kereta api ekspres juga dihentikan di utara Newcastle dan jalan ditutup oleh serpihan di sebahagian Scotland manakala ribut salji sejak semalam menjejaskan banyak laluan.

Salji dan pokok tumbang menyebabkan jalan terhalang di seluruh utara England dan Scotland, memaksa ramai pemandu tidur dalam kenderaan semalaman, menurut polis trafik.

Polis memberitahu, kira-kira 120 lori juga terperangkap dalam salji di satu bahagian lebuh raya antara Manchester dan Leeds, sambil berkongsi gambar jalan yang diselubungi salji menerusi ciapan di Twitter, .

Biarpun angin mula reda pagi tadi, Jabatan Meteorologi UK memberi amaran cuaca akan kekal mencabar ekoran ais dan salji, dengan orang ramai disaran mengelakkan perjalanan tidak penting.

Pengendali kereta api bagi laluan barat daya England turut memberi amaran mengenai pokok tumbang, sekali gus menghalang laluan kereta api.

Perkhidmatan ScotRail juga dihentikan antara laluan Edinburgh dan Glasgow.

Ribut juga memaksa pembatalan sekurang-kurangnya satu perlawanan bola sepak liga bawahan dan perlawanan lumba kuda hari ini.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.