Rexy naik pangkat
PETALING JAYA: Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky memikul tanggungjawab lebih besar apabila beliau kini memegang jawatan Pengarah Kejurulatihan ABM.
Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh berkata keputusan itu dibuat selepas ABM mahu memiliki seorang sahaja pengarah kejurulatihan yang akan memantau prestasi kedua-dua kem perseorangan dan beregu negara.
“ABM belum buat pengumuman rasmi tapi anda mungkin sudah perasan bahawa Rexy telah ambil alih sebagai Pengarah Kejurulatihan ABM secara keseluruhannya.
“Tugasan pertama Rexy adalah pada Sukan Asia Hangzhou 2022 yang sedang berlangsung ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kelab badminton tempatan, New Vision Badminton Academy (NVBA) dan Konfederasi Badminton Afrika (BCA) di sini, hari ini.
Jun lepas, jawatan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan ABM kosong susulan peletakan jawatan Wong Choong Hann yang berkelana ke Hong Kong sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki negara itu dan langkah ABM itu sekali gus menyaksikan Rexy secara tidak langsung perlu memantau prestasi kem perseorangan di akademi berkenaan.
Kenny berkata beliau melihat Rexy sebagai pilihan tepat untuk memegang jawatan tertinggi di ABM memandangkan pakar beregu dari Indonesia itu memiliki pengalaman luas bersama negaranya serta Thailand sebelum ini selain menjadi arkitek penting membimbing beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melakar sejarah menjadi wakil pertama badminton Malaysia muncul juara dunia tahun lepas.
Mengenai pengganti bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja ABM Datuk Misbun Sidek yang meninggalkan BAM bulan lepas, Kenny berkata mereka masih lagi meneliti calon yang benar-benar sesuai mengisi jawatan itu.
Dalam pada itu, Kenny optimis pemain badminton berpasukan lelaki negara dapat menampilkan prestasi terbaik dalam usaha menjelmakan kilauan pingat emas pada Sukan Asia Hangzhou 2022 biarpun berdepan laluan sukar menentang Korea Selatan pada pusingan pertama.
Sekiranya berjaya mara ke suku akhir, Malaysia dijadual bertemu musuh ketat, Indonesia, yang mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama.
Malaysia yang tidak menyertai acara berpasukan wanita sebaliknya menampilkan barisan terkuat mereka untuk acara berpasukan lelaki yang diwakili antaranya Aaron-Wooi Yik, bekas juara perseorangan lelaki All England 2021, Lee Zii Jia dan pemenang pingat perak perseorangan lelaki Sukan Komanwel 2022, Ng Tze Yong.
Sementara itu, Pengarah NVBA Sugita Kunalan berkata kerjasama selama empat tahun itu menandakan detik penting bagi kedua-dua pihak yang bergabung tenaga untuk melatih bakat dan memupuk kecemerlangan dalam sukan.
Beliau berkata sorotan utama MoU itu termasuk antara lain pertukaran pemain elit, dengan BCA akan mengenal pasti pemain Afrika yang luar biasa dan menghantar mereka berlatih dengan NVBA dalam usaha untuk memaksimumkan potensi mereka; program pertukaran jurulatih dan memanfaatkan rangkaian mereka untuk membantu BCA mendapatkan tajaan yang selamat untuk inisiatif pembangunan.
“Kami berbangga dengan satu lagi pencapaian penting melalui MoU kali ini dengan BCA membantu bakat-bakat luar negara yang semakin meningkat.
“NVBA sentiasa mengalu-alukan pemain antarabangsa dan beberapa pasukan kebangsaan untuk berlatih bersama kami sejak 2010 sebagai sebahagian daripada persiapan mereka untuk acara sukan seperti Sukan Olimpik, Sukan Komanwel dan Kejohanan Dunia,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif BCA Jeff Shigoli pula berkata mereka memilih Malaysia untuk melatih pemain dari benua mereka kerana negara ini adalah antara negara terbaik dalam sukan badminton.
“Kami mahu belajar daripada yang terbaik dan berharap untuk membawa pemain kami ke tahap di mana pemain Malaysia berada,” katanya.
Timbalan Presiden I BAM Datuk V. Subramaniam yang turut hadir dalam acara itu berkata ia usaha yang baik kelab tempatan dengan pelaksanaan program sebegini bagi membantu negara-negara yang memerlukan dalam memupuk bakat masa depan badminton.
Sponsored by Egroup88