Remaja lemas, 4 rakan terselamat ketika memancing

KUDAT: Seorang remaja lelaki lemas, manakala empat lagi rakannya berjaya diselamatkan dalam kejadian di Sungai Empangan Milau, Jalan Garau, di sini, petang tadi.

Mangsa dikenali Ryan, 16, bersama empat rakannya dipercayai ke tempat itu untuk memancing, namun berenang ke kawasan beting pasir di tengah sungai, pada jarak kira-kira 50 meter dari tebing.

Difahamkan, ketika berenang ke lokasi berkenaan mangsa tenggelam dan lemas akibat kepenatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Penolong Penguasa Bomba Ishak Jabas, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 3.01 petang dan sepasukan 11 anggota dan pegawai serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke tempat kejadian.

“Sejurus tiba, empat mangsa lelaki berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung. Pasukan seterusnya menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Pencarian turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Kudat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pada jam 5.40 petang, mangsa ditemui tidak jauh dari lokasi dilaporkan hilang dan pengecaman dilakukan ahli keluarga sebelum mayat diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.