Rayuan anak Gaddafi dihentikan susulan lelaki bersenjata serang mahkamah

TRIPOLI: Kerajaan perpaduan Libya mengecam serangan ke atas mahkamah menjelang rayuan anak kepada bekas pemimpin diktator negara itu, Muammar Gaddafi, Seif al-Islam Kadhafi selepas dia dihalang daripada bertanding dalam pilihan raya presiden.

Pilihan raya pada 24 Disember depan dilaksanakan ketika Libya berusaha untuk menamatkan siri keganasan sejak kerajaan pimpinan Gaddafi digulingkan pada 2011.

Rabu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya Libya mengumumkan penolakan pencalonan Seif kerana dia dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan jenayah ketika zaman pemberontakan.

Seif adalah antara 25 daripada 98 calon yang ditolak kerana tidak mematuhi peruntukan undang-undang pilihan raya.

Kesemua calon berkenaan diberi tempoh 48 jam untuk membuat rayuan di mahkamah.

Pagi semalam, ‘sekumpulan penjenayah’ melancarkan serangan disifatkan sebagai menjelikkan ke atas mahkamah di bandar selatan, Sebha, sehingga memaksa bangunan itu ditutup.

Insiden itu berlaku beberapa jam sebelum Seif dijangka membuat rayuan, kata kerajaan dalam satu kenyataan.

Peguam Seif, Khaled al-Zaydi, berkata kumpulan penyerang itu mengugut untuk melepaskan tembakan dan memaksa semua pekerja keluar dari bangunan berkenaan.

“Tindakan ini menjadi penghalang kepada proses pilihan raya,” katanya dalam video yang disiarkan di media Libya.

Dalam pada itu, kerajaan turut mengarahkan Kementerian Dalam Negeri dan Kehakiman untuk menyiasat serangan itu.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.