‘Raja Bomoh’ buat laporan polis nafi upacara bertentangan akidah
TELUK INTAN: Lelaki dikenali sebagai Raja Bomoh membuat laporan polis menafikan upacara yang dilakukannya bertentangan dengan akidah dan syariat agama Islam, hari ini.
Semalam, video ritual menolak musibah banjir yang dilakukan indvidu berkenaan di sini, tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata laporan itu dibuat pada jam 12.30 tengah malam tadi di Balai Polis Teluk Intan.
Katanya, individu terbabit mendakwa upacara itu tidak bertentangan dengan akidah dan syariat agama Islam.
“(Sebaliknya mendakwa ia) hanya mendoakan keselamatan semua penduduk supaya tidak berlaku banjir.
“Laporan ini juga dirujuk kepada pejabat Agama Islam Daerah Hilir Perak untuk siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ahmad Adnan berkata, Ketua Polis Balai Teluk Intan membuat laporan polis berhubung video tular berkenaan pada jam 4.30 petang semalam.
Katanya, upacara itu dilakukan di tepi Sungai Perak berhampiran sebuah kuil di Dataran Sungai Perak, Teluk Intan.
“Laporan berkenaan juga sudah dirujuk kepada Pejabat Agama Islam Daerah Hilir Perak untuk tindakan lanjut,” katanya.
Video tular berdurasi 25.09 minit itu memaparkan seorang pengamal perubatan tradisional bersama wanita melakukan ritual bagi menolak berlaku banjir yang didakwa sebagai petua zaman dahulu.