Puluhan juta di Pakistan bergelut banjir, angka kematian meningkat
Banjir tahun ini telah menjejaskan lebih 33 juta orang, kata Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan Pakistan.

SUKKUR: Puluhan juta orang di seluruh pelosok Pakistan, hari ini bergelut dengan banjir monsun terburuk dalam tempoh sedekad, selepas kebanyakan rumah hanyut, ladang musnah serta tebing sungai utama negara itu seakan mahu pecah.

Pegawainya, berkata 1,061 orang meninggal dunia sejak Jun lalu apabila musim hujan bermula.

Bagaimanapun, angka terakhir mungkin lebih tinggi kerana ratusan kampung di utara pergunungan terputus hubungan selepas sungai yang dilanda banjir menghanyutkan jalan dan jambatan.

Monsun tahunan itu adalah penting untuk mengairi tanaman dan menambah tasik dan empangan di seluruh benua India, namun ia turut membawa kemusnahan.

Banjir tahun ini memberi kesan kepada lebih 33 juta orang, satu dalam tujuh rakyat Pakistan.

Menteri Iklimnya, Sherry Rehman, berkata apa yang dilihat sekarang adalah lautan air yang menenggelamkan keseluruhan daerah.

“Ini adalah jauh daripada monsun biasa, ia adalah iklim distopia di depan pintu kita,” katanya.

Banjir tahun ini adalah setanding dengan 2010, paling teruk dalam rekod, apabila lebih 2,000 orang maut dan hampir satu perlima daripada negara itu berada bawah air.

Sementara itu, berhampiran Sukkur, sebuah bandar di selatan wilayah Sindh, yang menempatkan benteng era kolonial di Sungai Indus, memainkan peranan penting dalam mengelakkan malapetaka selanjutnya.

Sebahagian besar Sindh kini menjadi landskap air yang tidak berkesudahan, menghalang operasi bantuan besar-besaran yang diketuai oleh tentera.

Helikopter tentera juga bergelut untuk mengambil orang ke tempat yang selamat di utara, di mana gunung yang tinggi dan lembah dalam menjadikan penerbangan berbahaya.

Kerajaan mengisytiharkan darurat dan merayu bantuan antarabangsa.

Semalam, penerbangan pertolongan cemas yang pertama mula tiba dari Turki dan Emiriah Arab Bersatu.

Lembaga eksekutif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dijadualkan bermesyuarat di Washington, hari ini, untuk memutuskan sama ada akan meneruskan semula program pinjaman AS$6 bilion (RM26.94 bilion) yang penting bagi negara itu untuk membayar hutang asingnya, walaupun jelas negara itu memerlukan lebih banyak lagi bagi membaiki dan membina semula negara selepas monsun ini.

Harga barangan asas terutamanya bawang, tomato dan kacang kuda, melambung tinggi apabila penjual meratapi kekurangan bekalan dari wilayah Sindh dan Punjab yang dilanda banjir.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.