Puaka Jerai sanggup berbelanja besar demi Sang Kenari
ALOR SETAR: Penyokong unik Kedah Darul Aman FC dikenali sebagai Puaka Jerai sanggup menghabiskan ribuan ringgit demi memastikan pasukan kesayangannya terus menggegarkan Liga Malaysia (Liga M).
Beliau yang popular dengan kostum hijau dan kuning berserta imej bunga matahari ini sentiasa hadir di setiap venue perlawanan membabitkan skuad Sang Kenari terutamanya di Stadium Darul Aman termasuk bagi menceriakan penyokong.
Mungkin tidak ramai yang tahu, Puaka Jerai atau namanya Zulkifli Hashim adalah Pengerusi Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC).
Ketika ditemui, beliau berkata pakaian bercorak baharu yang dibuat khas pada musim ini adalah sebagai tanda sokongan beliau yang berterusan untuk perjuangan Sang Kenari.
“Kostum istimewa ini saya pakai buat pertama kali ketika Kedah menentang Perak FC di Ipoh bulan lalu dan buat pertama kali di Stadium Darul Aman ketika pasukan menentang Terengganu FC (TFC) pada Rabu lalu.
“Persiapan menyiapkan keseluruhan kostum ini menelan belanja kira-kira RM1,100 merangkumi kos kain dan jahitan. Ia juga termasuk kos untuk seluar dan kasut serta aksesori berkaitan dengan imej hijau kuning yang saya bawa selama ini.
“Saya mengambil masa beberapa bulan pada tahun lalu untuk mencari kain dengan warna bersesuaian di sekitar Kedah terutama Sungai Petani dan Alor Setar bagi mendapatkan kain berkualiti. Ini adalah tahun ke-10 saya memakai kostum seperti ini.
“Imej sebegini sudah menjadi identiti saya selama in. Saya anggap penampilan ini sebagai satu tanda sokongan setia saya buat Kedah yang juga mengenakan imej hijau kuning sejak berpuluh tahun yang lalu,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Zulkifli lagi, imej Puaka Jerai yang sudah sebati dengan dirinya ketika menyokong Sang Kenari kerana ia adalah salah satu cara untuk menyemarakkan sokongan penyokong Kedah ketika mereka hadir ke stadium.
“Ramai orang bertanya tentang keunikan pakaian saya ini. Ini kerana ianya nampak agak berlainan dari segi warna dan potongan berbanding kelaziman penyokong memakai jersi pasukan apabila ke stadium.
“Bagi saya, ini adalah salah satu cara kelainan yang ada pada penyokong pasukan Kedah. Melihat pada warna pakaian dan bunga matahari ini, ianya adalah cara tersendiri saya untuk membangkitkan lagi semangat sokongan penyokong terhadap Sang Kenari,” katanya.
Sponsored by Egroup88