Prestasi jualan Starbucks lonjak pendapatan Berjaya Food
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Berjaya Food Bhd melonjak kepada RM38.8 juta dalam suku kedua yang berakhir pada 31 Disember 2021, daripada RM11.12 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Hasil meningkat kepada RM272.75 juta daripada RM174.1 juta disumbang oleh pertumbuhan tinggi jualan di ‘kedai-yang-sama’ terutama daripada cawangan kafe Starbucks, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Menurut Berjaya Food peningkatan tinggi pendapatannya itu adalah sejajar dengan hasil tinggi yang direkodkan pada suku semasa serta prestasi yang bertambah baik daripada operasi restoran Kenny Rogers Roasters (KRR) di Malaysia.
“Kebenaran semula perjalanan antara negeri dan luar negara bermula 11 Oktober 2021, ditambah dengan jualan semasa tempoh perayaan dan musim Krismas juga menyumbang kepada pendapatan hasil,” katanya.
Bagi tempoh enam bulan, keuntungan bersih Berjaya Food meningkat lebih daripada berganda kepada RM50.5 juta daripada RM21.49 juta tahun ke tahun manakala hasil naik kepada RM460.47 juta daripada RM354.82 juta.
Kumpulan itu juga mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak satu sen dividen satu tier sesaham berbanding setengah sen pada suku yang sama berakhir 31 Disember 2020, yang akan dibayar pada 30 Mac 2022.
Jumlah dividen yang diisytiharkan bagi tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2021, berjumlah dua sen dividen satu tier sesaham.
Berjaya Food terbabit terutama dalam membangun dan mengoperasikan jenama ‘Starbucks Coffee’ di Malaysia dan Brunei, membangun dan mengoperasikan rantaian KRR di Malaysia serta Jollibean dan pelbagai jenama di Singapura.
Sponsored by Egroup88