Presiden MMC perlu melalui pemilihan, bukan pelantikan – MMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) digesa untuk menetapkan kedudukan Presiden Majlis Perubatan Malaysia (MMC) melalui pemilihan dan bukannya pelantikan seperti sebelum ini.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Azizan Abdul Aziz, berkata pembaharuan dalam sistem penjagaan kesihatan itu boleh dilakukan melalui pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50).
“Kami menyambut baik tindakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang mahu menyegerakan pindaan akta perubatan mengenai program Parallel Pathway.
“Walaupun kita sedang menunggu cadangan pindaan Akta 50 untuk menangani isu ini, adalah masanya bagi KKM untuk mengkaji juga akta terbabit ke arah pembaharuan yang bermakna dalam sistem penjagaan kesihatan kita.
“Ia perlu bermula dengan pembaharuan MMC dengan menetapkan kedudukan Presiden MMC yang harus diputuskan melalui pemilihan dan bukan melalui pelantikan,” katanya melalui kenyataan, di sini.
Sebelum ini, Dzulkefly dilaporkan berkata, KKM akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri untuk menyegerakan pindaan Akta 50 mengenai program Parallel Pathway bagi membolehkan pelatih yang berjaya menyelesaikan program itu, mendaftar sebagai pakar di bawah akta berkenaan.
Dzulkefly dilaporkan berkata, langkah itu bertujuan menyelesaikan masalah kekurangan pakar perubatan yang berkhidmat di fasiliti kesihatan kerajaan di negara ini.
Pada masa sama, Dr Azizan berkata, komposisi ahli majlis MMC juga harus terdiri daripada sekurang-kurangnya 80 peratus wakil yang dipilih.
Katanya, selain itu, sistem pengundian yang masih menggunakan undi pos, perlu melalui digitalisasi, selaras dengan agenda transformasi kesihatan digital KKM.
“Pada masa ini, amalan kini tidak menggalakkan ahli untuk mengundi dengan hanya 10 peratus mengundi dari hampir 70,000 pengamal perubatan berdaftar setiap kali pemilihan diadakan,” katanya.
Sponsored by Egroup88