Positif COVID-19, 39 rakyat Malaysia kandas di London
KUALA LUMPUR: Seramai 39 rakyat Malaysia terkandas di London selepas didapati positif COVID-19 menjelang penerbangan pulang ke tanah air.
Angka itu diperoleh daripada pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London setakat 5 Januari lalu, selepas menerima 27 maklumat daripada rakyat Malaysia di bandar raya berkenaan mewakili mangsa terbabit.
Daripada 27 maklumat itu, hanya satu membabitkan kemasukan ke hospital untuk rawatan lanjut manakala yang lain tidak dapat pulang kerana belum menerima sijil pulih bagi membolehkan mereka menaiki penerbangan.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London berusaha menawarkan bantuan kepada semua rakyat Malaysia yang terkandas walaupun sekatan menimbulkan cabaran baharu kepada mereka yang ingin membantu.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang menetap di London berusaha membantu mangsa yang terkandas dengan menyalurkan bantuan makanan, sokongan moral dan sebagainya.
Pengusaha restoran Putera Puteri, Noor Amy Ismail, menyediakan bungkusan makanan untuk dihantar kepada sebuah keluarga yang terkandas.
“Kami menerima maklumat daripada rakan di Malaysia menyatakan ada keluarga terkandas, kami berusaha membantu mereka,” katanya.
Difahamkan, keluarga terbabit menunggu penerbangan pulang ke Malaysia sebelum disahkan positif COVID-19 dengan seorang daripada ahli keluarga itu dimasukkan ke hospital dan mendapat bantuan alat pernafasan.
Selain itu, sebuah keluarga yang sedang pulih daripada COVID-19, terpaksa membayar kos beberapa ujian saringan bagi anak mereka yang berusia dua tahun.
Mereka bernasib baik kerana mampu membayar kos ujian saringan terbabit dan berupaya mendapatkan tempat penginapan sementara.
Sejak Disember tahun lalu, United Kingdom (UK) merekodkan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 terutama membabitkan varian Omicron.
Justeru, rakyat Malaysia yang berhasrat melancong ke UK dinasihatkan mengambil maklum kadar jangkitan yang meningkat dan merancang semula perjalanan.