Polis terima dua van jenazah daripada Uncle Kentang

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur menerima dua van jenazah oleh Pertubuhan Amal Uncle Kentang untuk kegunaan masyarakat setempat yang memerlukan bantuan pengurusan jenazah, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata dua van berkenaan akan ditempatkan di Balai Polis Dang Wangi dan Balai Polis Cheras.

“Orang ramai boleh datang ke balai dengan memaklumkan kepada anggota bertugas di balai untuk mendaftar nama bagi menggunakan van itu secara percuma.

“Jika tidak ada pemandu ketika itu, kita akan memohon bantuan rakan strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan van berkenaan digunakan bagi menguruskan apa-apa keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dalam Program Penyerahan Van Jenazah Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia kepada Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Azmi berkata, pihaknya harap khidmat dua van jenazah itu dapat memberi manfaat serta kemudahan kepada masyarakat setempat.

“Inisiatif ini adalah permulaan dan sekiranya kita dapati penerimaan perkhidmatan van ini sangat baik, kita harap Pertubuhan Amal Uncle Kentang dapat meningkatkan jumlah van yang ditempatkan di balai polis di Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, pengasas persatuan berkenaan Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang berkata, pihaknya mempunyai 25 van jenazah yang disediakan untuk kemudahan masyarakat.

“Ini adalah kali pertama persatuan ini berkerjasama dengan pihak polis dari segi pemberian van jenazah,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.