Polis siasat pegawai APM ingkar arahan di lokasi bencana

AMPANG JAYA: Polis membuka kertas siasatan terhadap pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang ingkar arahan ketika kejadian tanah runtuh di kawasan Jalan Mega Jaya, Taman Mega, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata pihaknya turut menyiasat pemilik akaun Facebook yang memuat naik video komander operasi bencana sedang memberi arahan dan kawalan di lokasi kejadian berkenaan.

Video berdurasi 55 saat itu disebarkan oleh seorang pemilik akaun Facebook yang memaparkan seorang pegawai APM ingkar arahan yang diberikan oleh komander operasi bencana.

“Malah, pegawai APM ini masuk ke lokasi bencana tanpa kebenaran. Kawasan ini adalah kawasan larangan di mana akan menjejaskan keselamatan pasukan carian dan akan menganggu usaha operasi menyelamat.

“Arahan juga sudah dikeluarkan oleh komander operasi bencana supaya pasukan APM tidak dibenarkan memasuki tempat berkenaan selepas penilaian situasi dibuat dari segala sudut aspek keselamatan dan ruang yang terlalu sempit serta terhad.

“Malah, dalam situasi berkenaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) juga berada di kawasan kejadian dalam usaha mencari dan menyelamat berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, penyebaran video berkenaan juga menjejaskan reputasi pihak polis terutama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya serta boleh disalah tafsir oleh orang ramai.

Susulan itu, katanya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (KK), iaitu mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam; Seksyen 188 KK iaitu mengingkari perintah diisytiharkan oleh penjawat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Polis menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang kandungan dan menyalahgunakan perkhidmatan komunikasi dan media sosial tanpa membuat verifikasi terlebih dahulu kerana dikhuatiri akan menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.