PM Singapura sokong Myanmar dikecualikan sertai mesyuarat ASEAN

SINGAPURA : Pemimpin Singapura menjelaskan ASEAN perlu terus mengecualikan junta Myanmar daripada sebarang mesyuaratnya sehingga mereka bekerjasama dalam rancangan damai yang dipersetujui.

Kementerian Luar Singapura, dalam satu kenyataan hari ini, berkata, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, menerusi panggilan video semalam, menggesa pengerusi baharu ASEAN, Kemboja, untuk membabitkan semua pihak bila mendepani konflik Myanmar.

Katanya, Hsien Loong memberitahu rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Sen, bahawa ASEAN perlu terus menjemput wakil bukan politik Myanmar ke mesyuaratnya dan sebarang perubahan keputusan mesti bersandarkan fakta baru.

Beliau membuat kenyataan itu menyusuli lawatan kontroversi Hun Sen ke Myanmar minggu lalu, di mana beliau bertemu ketua junta tentera, Min Aung Hlaing,

Aung Hlaing sebelum ini dikecualikan ASEAN daripada sidang kemuncak pemimpinnya kerana gagal melaksanakan syor lima perkara untuk menamatkan permusuhan dan membenarkan dialog selepas rampasan kuasa tahun lalu.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, yang membuat komen sama kelmarin, berkata beberapa anggota ASEAN merasakan Hun Sen sepatutnya membincangkan terlebih dulu dengan rakan pemimpin ASEAN kerana tindakan sedemikian boleh dilihat sebagai mengiktiraf junta.

Hsien Loong memberitahu Hun Sen, sebarang pembabitan dengan Myanmar perlu merangkumi semua pihak terbabit, termasuk pemimpin parti pemerintah yang digulingkan, Aung San Suu Kyi.

Pemimpin Singapura itu berkata, di sebalik komitmen keamanan Myanmar, junta sudah membuat serangan terhadap lawan politiknya dan mengenakan lanjutan hukuman penjara ke atas Suu Kyi.

Kenyataan itu menjelaskan, Hun Sen juga membuat beberapa cadangan kepada Hsien Loong mengenai kaedah menyelaraskan gencatan senjata di Myanmar dan menyampaikan bantuan kemanusiaan.

Hsien Loong menjawab ini mungkin rumit kerana tiada akses kepada semua pihak, biarpun pada dasarnya, Singapura tidak membantah idea berkenaan.

“Hsien Loong menjelaskan, Semua cadangan Kemboja, sebagai pengerusi ASEAN, perlu dibincangkan dengan lebih lanjut dalam kalangan Menteri Luar ASEAN.

“Perdana Menteri berharap Kemboja akan mempertimbangkan pandangannya dan pandangan pemimpin ASEAN lain,” menurut kenyataan itu.

Kemboja pada Rabu menangguhkan mesyuarat sulungnya sebagai Pengerusi ASEAN, yang dijadualkan minggu depan, selepas beberapa Menteri Luar menyatakan kesukaran untuk hadir.

Kenyataan Hsien Loong juga dibuat beberapa hari selepas Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn, berkata di laman Facebook bahawa Singapura menyokong pendekatan Kemboja mengenai krisis Myanmar. 

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.