PM ajak rakyat bersikap rahmah, kekalkan perpaduan
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat menggarap semangat perpaduan, pengorbanan, daya juang, bersikap ihsan dan rahmah, bagi membantu golongan susah dan terpinggir.
Perdana Menteri berkata nilai yang beliau syorkan itu perlu ditingkatkan untuk melakukan kebaikan kepada masyarakat tanpa mengira kaum.
“Kita telah berjaya menyempurnakan ibadah puasa pada bulan Ramadan Mubarak dan kini kita bakal menyambut Aidilfitri sesuai dengan tradisi dan budaya yang dipupuk oleh Islam iaitu kesederhanaannya, silaturrahimnya serta mesti pertahankan tingkatan amal dan kebersihan jiwa yang cuba kita lakukan di bulan Ramadan.
“Saya juga ingin mengesyorkan semangat perpaduan, pengorbanan, daya juang itu dipupuk terus beserta sikap ihsan dan rahmah ditingkatkan kepada golongan masyarakat yang daif dan melarat serta mereka yang terpinggir tanpa mengira kaum,” katanya dalam perutusan sambutan Aidilfitri yang disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen malam ini.
Dalam kesempatan yang sama, Perdana Menteri dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menitipkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada rakyat Malaysia yang berada di seluruh dunia.
Ia termasuk penjawat awam yang berkhidmat di 106 Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara.
“Saya meletakkan pengharapan yang tinggi kepada semua Perwakilan Diplomatik Malaysia untuk bersama-sama membangun serta menerap nilai-nilai Malaysia Madani, sekaligus mempromosi peranan Malaysia di peringkat antarabangsa terutamanya di rantau Asia Tenggara,” katanya.
Sponsored by Egroup88