PKR tawar MUDA 3 kerusi
JOHOR BAHRU: PKR Johor menawarkan tiga kerusi kepada parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac nanti.
Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata susulan itu pihaknya kini menanti maklum balas MUDA berhubung tawaran tiga kerusi berkenaan.
“Berhubung isu agihan kerusi, PKR sudah mengadakan tiga siri rundingan bersama MUDA dan ia selari serta menepati hasrat dinyatakan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan PH Johor.
“Dalam siri rundingan itu, masing-masing memberi pandangan secara jujur dan terbuka.
“Hasil rundingan itu, PKR menawarkan tiga kerusi kepada MUDA dan sedang menunggu maklum balas berhubung tawaran berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Petang tadi, MUDA diperuntukkan enam kerusi, hasil rundingan bersama antara parti itu, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP Johor.
Dalam kenyataan bersama antara AMANAH, DAP dan MUDA, keputusan itu berjaya dicapai selepas beberapa siri rundingan untuk pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN Johor.
Kesepakatan antara tiga parti membawa keputusan muktamad dengan MUDA diperuntukkan enam kerusi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.
Sponsored by Egroup88