Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun.

SEREMBAN: PKR sudah membuat persiapan rapi dan bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada bila-bila masa.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata parti itu bersedia berhadapan pilihan raya umum jika ia diadakan tahun ini, namun berpandangan lebih baik jika ia dijalankan pada tahun depan.

“Jika PRU dibuat tahun ini, PKR sudah bersedia dan terpaksa hadapinya. Jentera pilihan raya rakan lain dalam Pakatan Harapan (PH) juga sudah bersiap sedia.

“Insya-Allah, pada masa terdekat ini, kita akan gerakkan jentera parti bagi menunjukkan bahawa parti serius untuk menghadapi PRU-15,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO negeri dan majlis penyerahan bendera Negeri Sembilan daripada pendaki kebangsaan, T Ravichandran, di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Aminuddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang dilaporkan berkata, bahawa PRU-15 akan diadakan pada tahun ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR berkata, walaupun pembubaran serentak Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan Parlimen mungkin tidak berlaku, Negeri Sembilan akan tetap menghadapi pilihan raya bagi kerusi Parlimen.

“Di peringkat DUN kita belum putuskan kerana ia bergantung kepada tarikh PRU-15. Perkara ini akan diserahkan kepada Majlis Presiden PH,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Aminuddin menyifatkan pelantikan Timbalan Presiden dan Naib Presiden parti itu bagi mengetuai pasukan negeri menghadapi PRU-15 adalah tepat.

Beliau berkata, langkah itu penting dalam memastikan persiapan PKR menghadapi PRU-15 berjalan lancar dan berkesan.

“Langkah ini pertama kali dibuat oleh PKR dengan meletakkan pimpinan utama untuk memimpin negeri dan keputusan ini nampaknya disambut baik semua kepemimpinan negeri.

“Ia penting selepas kita mengharungi pemilihan parti, namun parti dilihat dalam keadaan cukup baik untuk menghadapi PRU-15,” katanya.

Terdahulu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan menerusi Facebook miliknya, melantik Timbalan Presiden dan Naib Presiden parti bagi mengetuai pasukan negeri untuk berdepan PRU-15.

Anwar bagaimanapun berkata, langkah itu tidak dilaksanakan di Sabah dan Sarawak kerana Pengerusi MPN dipilih menerusi majoriti Ketua Cabang.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.