PIBG SMTKL nafi dakwaan sekumpulan ibu, bapa

KUALA LUMPUR: Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur (SMTKL) menafikan dakwaan pengurusan sekolah itu gagal mengambil langkah proaktif bagi menangani penularan COVID-19 dalam kalangan pelajarnya.

Yang Dipertua SMTKL, Zahrin Ibrahim, sebaliknya menyifatkan dakwaan beberapa ibu bapa pelajar yang disahkan positif COVID-19 itu berpunca akibat salah faham dan perasaan panik untuk menguruskan anak mereka yang diarah menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing.

Dakwaan mengenai kegagalan ibu bapa mendapatkan surat kuarantin dan gelang bagi pelajar positif menjalani kuarantin di rumah pula seharusnya diajukan kepada pusat kesihatan daerah (PKD) kerana mereka adalah pihak berautoriti yang menguruskan hal berkenaan.

“Penularan di sekolah ini semakin merebak berpunca akibat keengganan ibu bapa membawa anak mereka pulang untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing. Arahan pihak berkuasa kesihatan jelas, mana-mana kes Kategori 2B ke bawah perlu dikuarantin di rumah.

“Bagaimanapun, kita sudah berjaya mendapatkan persetujuan Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) untuk menempatkan pelajar positif yang ibu bapa mereka enggan bawa pulang petang tadi.

“Persetujuan asal hanya diberikan kepada 42 kes tetapi selepas perbincangan lanjut, Pengarah MAEPS bersedia menerima hingga 60 pelajar, selain akan membuka zon baharu jika kuantiti kes masih bertambah,” katanya kepada BH, malam ini.

Beliau mengulas dakwaan sekumpulan ibu bapa pelajar SMTKL bahawa pihak sekolah tidak mengambil tindakan proaktif sebaik sahaja seorang daripada warga sekolah disahkan positif sehingga menyebabkan jumlah kes COVID-19 di sekolah itu mencecah lebih 70 kes.

Mereka turut mendakwa bagi ibu bapa yang membawa pulang anak perlu menjalani saringan sekali lagi di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) berdekatan, seterusnya menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Menceritakan pengurusan kes COVID-19 di SMTKL, Zahrin berkata, penginapan pelajar positif diasingkan dan ditempatkan di bangunan sekolah manakala murid yang disahkan negatif mendiami ruangan asrama.

Jumlah kes COVID-19 di SMKTL meningkat kepada 74 individu setakat petang tadi, selain menjelaskan tiada kes diklasifikasikan Kategori 3, 4 atau 5.

“Kelengkapan pelajar positif seperti tilam dan sebagainya dipindahkan rakan sebilik mereka. Namun, kes positif di SMTKL sudah mula dipindahkan ke MAEPS, kira-kira jam 7 petang tadi.

“Selain itu, semua pelajar Tingkatan 4 yang disahkan negatif COVID-19 sudah diarahkan pulang ke rumah masing-masing dan perlu menjalani proses pengajian dan pembelajaran secara dalam talian.

“Pelajar Tingkatan 5 yang negatif pula diminta kekal di sekolah dengan keputusan dibuat berdasarkan faktor mereka adalah pelajar kelas peperiksaan yang memerlukan perhatian daripada guru,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.