Piala Vivian May Soars ‘terbang’ ke China

KUALA LUMPUR: Kelab jemputan dari China Liaoning muncul juara Piala Vivian May Soars 2024 selepas menewaskan Malaysian University 3-0 menerusi penentuan pukulan penalti selepas terikat 1-1 pada aksi masa sebenar final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, malam ini.

Perlawanan bermula sengit apabila kedua-dua pasukan saling menguji kehebatan benteng pertahanan masing-masing yang menyaksikan suku pertama berakhir tanpa jaringan, namun Liaoning berjaya memecah kebuntuan gol selepas Wang Lihang meledak jaringan pukulan sudut penalti pada minit ke-44.

Selepas asakan bertali arus, Malaysian University yang dibimbing Lailin Abu Hassan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan di hujung perlawanan apabila Nor Asfarina Isahyifiiqa Isahhidun menyempurnakan penalti strok pada minit ke-55 sekali gus mengheret permainan ke penentuan pukulan penalti.

Pada penentuan itu, Wang Libin, Lihang dan Li Jiaqi masing-masing tenang menyudahkan pukulan penalti untuk mengesahkan kejuaraan pasukan bimbingan Ren Ye itu selepas Wei Yuanmeng gagal menemui sasaran pada pukulan pertama.

Malang buat Malaysian University yang muncul juara Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024, apabila Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad, Nor Asfarina dan Siti Nur Arfah Mohd Nor masing-masing gagal menyempurnakan pukulan penalti.

Sebagai rekod, ini merupakan kejuaraan mutlak pertama Liaoning selepas muncul juara bersama dengan Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) pada 2019 selepas final edisi itu dibatalkan susulan hujan lebat dan petir.

Sementara itu, perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat yang berlangsung pada sebelah petang tadi dimenangi PDRM Blue Warriors selepas menumpaskan Negeri Sembilan 2-0.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.