Piala Suzuki: Serangan kilat jadi senjata Vietnam
SINGAPURA: Skuad Harimau Malaya harus berhati-hati dan tidak boleh leka terutama menerusi serangan balas pasukan Vietnam apabila kedua-duanya bertemu dalam aksi Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan, malam esok.
Ia selepas tonggak tengah pasukan itu, Luong Xuan Truong mengakui serangan ‘kilat’ akan dijadikan senjata utama buat memerangkap pertahanan Malaysia dalam pertemuan itu nanti.
“Malaysia sebuah pasukan yang baik dan sukar untuk ditentang. Bukan mudah apabila menentang Malaysia dan situasi itu sudah kami lalui sejak tiga tahun lalu apabila beberapa kali kami bertemu.
“Walaupun keputusan memihak kami, tetapi hakikatnya Malaysia juga kuat dan jentera serangan mereka di sini amat baik babitkan tiga pemain di depan. Jadi kami perlu fokus kepada serangan balas yang juga identiti permainan kami sejak beberapa tahun ini.
“Kami akan akan gunakan kelebihan melalui serangan pantas untuk mendapatkan gol,” katanya yang pernah beraksi di Liga Korea Selatan dan Thailand sebelum ini.
Vietnam kini dalam misi mempertahankan Piala Suzuki AFF 2020 yang dimenangi pada 2018 lalu selepas menewaskan Malaysia di pentas final. Anak buah Hang-seo menang 3-2 secara agregat untuk menjulang trofi itu buat kali kedua selepas turut memenanginya pada 2008.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe pula memburu kejuaraan kedua selepas kali terakhir Malaysia muncul juara pada 2010 dan berpeluang menamatkan badi kekalahan di tangan Vietnam sejak lima pertemuan lalu dari 2018.