Piala Sudirman: Malaysia, Korea Selatan berentap di separuh akhir
KUALA LUMPUR: Skuad badminton negara mara ke pentas separuh akhir Piala Sudirman 2023 selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Denmark sebentar tadi, yang menyaksikan pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia memperoleh kemenangan percuma ke atas pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen.
Mata pertama negara diperoleh menerusi beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang bangkit daripada kekalahan 15-21 di tangan Mathias Christiansen-Alexandra Boje di set pertama.
Di set kedua, Tang Jie tampak mengalami kecederaan di bahagian buku lali namun fokus mereka untuk memperoleh kemenangan ke atas gandingan ranking ke-18 dunia itu nyata membuahkan hasil dengan memperoleh kemenangan 21-14.
Tang Jie-Ee Wei kemudian terus mempamerkan aksi yang cemerlang di set penentuan sebelum menewaskan lawan 21-17 bagi menjamin mata pertama pasukan negara.
“Saya rasa perlawanan itu agak sedikit susah buat kami kerana mata pertama itu sangat penting. Kami menerima cabaran dan mengatasinya dengan baik. Saya gembira, saya dan Tang Jie berjuang dalam gelanggang untuk dapatkan mata bagi Malaysia.
“(Set kedua), kami bermain lebih tenang dan yakin dengan diri sendiri serta jangan terlalu banyak berfikir. Kami kena keluarkan strategi dalam gelanggang dan main dengan cara sendiri. Itu menjadi kunci kemenangan bagi hari ini,” kata Ee Wei.
Zii Jia yang menggalas tanggungjawab bagi perlawanan kedua, pada awalnya dijangka berdepan cabaran sengit daripada Axelsen namun pemain Denmark itu mengalami kecederaan hamstring kaku kiri ketika mendahului 4-3 di set pertama.
Axelsen dilihat cuba meneruskan perlawanan selepas menerima rawatan namun terpaksa membuat keputusan sukar menarik diri ketika saingan terikat 4-4 sekali gus memberi ‘kelegaan’ buat pasukan Malaysia mendahului selesa 2-0.
“Saya masih terkejut. Apapun harap kecederaan Axelsen itu serius dan dapat pulih dalam masa singkat. Saya harap yang baik saja untuknya.
“Kami ada cakap sedikit mengenai kecederaan yang dia tak boleh main.
“Saya rasa, saya tak perasan pun kerana saya fokus 100 peratus untuk perlawanan ini dan saya tak sangka pengakhiran yang seperti ini,” kata Zii Jia.
Begitupun, Malaysia terpaksa menunggu seketika untuk meraih kemenangan apabila pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei tewas Mia Blichfeldt 14-21, 21-15, 19-21 untuk menjadikan keputusan 2-1.
Mujur gandingan juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyelamatkan keadaan buat Malaysia apabila berjaya menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen straight set 21-17, 21-16 untuk memuktamadkan kemenangan 3-1.
Malaysia dijadual bertemu Korea Selatan di separuh akhir esok selepas mereka menewaskan Taiwan 3-1 dalam satu perlawanan yang berlangsung pagi tadi.
Jepun dalam pada itu dijadual bertemu penyandang juara China untuk satu lagi aksi separuh akhir.
Keputusan suku akhir
Suku Akhir
Malaysia 3 Denmark 1
Korea Selatan 3 Taiwan 1
Jepun 3 Thailand 2
China 3 Indonesia 0
Sponsored by Egroup88