PGF Capital rancang perbandaran bersepadu RM3 bilion di Proton City
KUALA LUMPUR: PGF Capital Bhd merancang untuk membangunkan sebuah perbandaran bersepadu dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.0 bilion bersebelahan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Proton City, Tanjong Malim, Perak.
Syarikat itu melalui satu kenyataan hari ini berkata, pembangunan strategik dengan lebih 6,000 unit kediaman dan komersial itu akan berjalan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun di atas tanah seluas 161.87 hektar.
PGF Capital berkata, projek komprehensif itu turut merangkumi 99.27 hektar untuk ladang pertanian, 21.61 hektar bagi aktiviti akuakultur, 119.58 hektar untuk eko-pelancongan, 23.55 hektar untuk eko-permukiman dan 29.02 hektar ke arah komuniti gaya hidup termasuk perkampungan persaraan dan kesejahteraan.
“Inisiatif komprehensif ini mencerminkan komitmen PGF Capital untuk mewujudkan bukan sahaja sebuah perbandaran tetapi persekitaran hidup yang harmoni dan mampan,” katanya.
PGF Capital mahu memanfaatkan potensi AHTV kerana gergasi automotif China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd melabur RM46.8 bilion untuk membangunkan AHTV sebagai hab kenderaan generasi akan datang Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PGF Capital, Fong Wern Sheng, mengulas bahawa pelan induk tanah tersebut membayangkan komuniti yang berdikari dan kendiri, menyepadukan ruang kediaman serta komersial dengan fasiliti dan infrastruktur yang direka dengan teliti.
“Geely telah mencadangkan pembinaan sebuah universiti, dan kami berbesar hati selepas kerajaan Perak bersetuju meneroka lokasi yang sesuai untuk kemudahan sedemikian.
“Pelan pembangunan hartanah kami kini sedang dalam semakan dan menunggu kelulusan daripada kerajaan Perak. Kami menyasarkan untuk melancarkan fasa pertama kami menjelang 2024,” katanya.
Wern Sheng berkata, PGF Capital telah menandatangani perjanjian usaha sama dengan Malvest Properties Sdn Bhd, pemaju hartanah yang berpangkalan di Pulau Pinang, untuk bersama-sama membangunkan Fasa 1 dengan anggaran GDV RM600 juta, yang akan menawarkan 1,808 unit hartanah kediaman dan komersial yang disesuaikan dengan keperluan pasaran yang berbeza.
“Pelan pembangunan itu merangkumi penyepaduan teknologi bagi kehidupan mampan, turut memasukkan inisiatif seperti pengangkutan ulang-alik kenderaan elektrik untuk opsyen pengangkutan yang lebih mesra alam, sistem keselamatan yang dipertingkatkan dengan kecerdasan buatan bagi persekitaran hidup yang selamat dan penggunaan tenaga suria untuk mengurangkan pelepasan karbon serta pergantungan kepada sumber tenaga tradisional,” tambah PGF Capital.
Sponsored by Egroup88