Pesta Laksa Kuale tarik lebih 10,000 penggemar laksa
KUALA KANGSAR – Pesta Laksa Kuale yang berlangsung selama dua hari sehingga Sabtu ini dijangka dapat menarik lebih 10,000 pengunjung yang menggemari juadah berkenaan.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, program anjuran daripada Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) itu turut menampilkan hidangan berasaskan laksa dari sembilan negeri lain selain Perak.
Menurutnya, Pesta Laksa Kuale bakal dijadikan acara tahunan kerana mampu menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke negeri terutama Tahun Melawat Perak 2024.
“Ini merupakan langkah-langkah permulaan kita dalam memajukan industri pelancongan negeri terutamanya di daerah Kuala Kangsar. Kita dapat melihat ramai pelawat datang menikmati pelbagai juadah daripada setiap negeri.
“Ia secara tidak langsung merapatkan ikatan silaturahim antara semua negeri, sebagai contoh daripada seperti Pulau Pinang, Sarawak dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Pesta Laksa Kuale yang disempurnakan oleh Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah di Arena Kuala Kangsar di sini pada Jumaat.
Tambah Sze Yee, pihaknya berhasrat untuk melaksanakan pesta seumpama itu secara besar-besar agar memberi impak besar kepada pengusaha laksa sekali gus menjana pendapatan peniaga.
Bagi peniaga laksa Sarawak, Masina Jalani, Pesta Laksa Kuale merupakan satu kesempatan bagi persatuannya memperkenalkan juadah yang sinonim dengan negerinya selain kek lapis.
“Kami sanggup terbang dari Borneo untuk menyertai pesta yang dianggap luar biasa penganjurannya dengan mengumpul pengusaha dari beberapa negeri lain.
“Sudah beberapa jam gerai dibuka tidak sangka menerima sambutan yang menggalakkan buat penggemar laksa di daerah ini,” katanya.
Pengunjung, Md Nor Ahmad, 58, berkata, dia merupakan penggemar laksa mahu mencuba juadah laksa dari negeri lain yang jarang ditemui.
“Laksa kuale mempunyai kelainan kerana laksa diperbuat daripada tepung gandum berbanding biasa yang diperbuat dari tepung beras.
“Pesta kali ini melibatkan negeri lain, saya tidak sabar untuk merasai laksa yang disediakan seperti laksa Sarawak, laksa jawa dan lain-lain,” katanya.
Sponsored by Egroup88