Pertabalan Raja Charles III tarik perhatian dunia

LONDON: Raja Charles III secara rasmi ditabalkan menerusi istiadat pertabalan diraja dan detik bersejarah itu disaksikan di seluruh dunia, lapor dpa.

Raja Charles menjadi pemerintah ke-40 yang ditabalkan di Westminster Abbey sejak 1066, dan istiadat pertabalan itu disempurnakan oleh Uskup Agung Canterbury Justin Welby.

Istiadat pertabalan berkenaan menggabungkan tradisi lama dan moden selain mencerminkan peranan Raja Charles di masa hadapan.

Berbilion orang ramai menyaksikan majlis yang berlangsung di pekarangan Westminster Abbey yang turut menjadi lokasi penting keluarga diraja Britain selama beberapa abad.

Laungan “God Save the King” kedengaran di sekitar biara selepas Mahkota St Edward yang diperbuat daripada emas padu dimahkotakan ke atas Charles oleh Welby.

Ia adalah pertabalan pertama Britain sejak 70 tahun dan diadakan selepas lapan bulan kemangkatan Ratu Elizabeth II, pada usia 96 tahun.

Istiadat itu menghimpunkan kira-kira 100 ketua negara, raja dan permaisuri dari seluruh dunia, selebriti, wira dan keluarga serta rakan pasangan itu, dengan Duke of Sussex dijangka hadir.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat dan mengadakan lawatan khas ke London, bagi menghadiri Istiadat Pertabalan itu.

Tetamu jemputan termasuk David dan Victoria Beckham, pemuzik Lionel Richie, Presiden Perancis Emmanuel Macron, Raja Willem-Alexander dan Ratu Maxima dari Belanda, Perdana Menteri Britain Rishi Sunak, dan Wanita Pertama AS Jill Biden.

Upacara berkenaan turut menyaksikan operasi istiadat terbesar tentera sejak pertabalan Ratu Elizabeth pada 1953, yang disertai 9,000 anggota tentera manakala 7,000 daripadanya melaksanakan peranan istiadat dan sokongan.

Operasi keselamatan besar-besaran, digelar Golden Orb, sedang dijalankan yang akan menyaksikan 11,500 anggota polis bertugas pada Sabtu.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.