Permohonan geran pecutan digital Malaysia (MDAG) dibuka sehingga 28 Julai – MDEC

KUALA LUMPUR: Permohonan bagi geran pecutan digital Malaysia atau Malaysia Digital Acceleration Grant (MDAG)2023 dibuka bermula hari ini hingga 28 Julai ini.

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melalui kenyataan hari ini, berkata geran itu bertujuan memacu pertumbuhan syarikat digital dan teknologi berstatus Malaysia Digital (MD) di peringkat pengkomersialan.

“Geran ini selaras dengan inisiatif strategik nasional MD yang memberi tumpuan untuk memacu pelaburan dan mewujudkan pekerjaan baharu bernilai tinggi bagi mencapai aspirasi ekonomi digital negara, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab digital ASEAN.

“MDAG 2023 akan menyediakan pembiayaan diperlukan oleh penggiat industri untuk peningkatan operasi melalui penggunaan teknologi berterusan selain menyemai inovasi ekosistem digital negara dalam usaha menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat selaras dengan konsep Malaysia Madani,” katanya.

MDEC memaklumkan, geran berpandukan Strategi Pelaburan Malaysia Digital itu bakal mewujudkan lebih banyak syarikat teknologi di peringkat serantau bagi tempoh tiga tahun.

“Inisiatif ini juga selaras dengan strategi dan rangka kerja MD untuk memangkinkan pertumbuhan sektor tumpuan menerusi platform teknologi yang telah dikenal pasti,” menurut kenyataan itu yang turut mengesahkan sejak diperkenalkan pada 2022 sebanyak 35 syarikat telah menerima MDAG.

Syarikat yang ingin memohon geran perlu memiliki status MD dan pemohon yang berjaya akan diumumkan dalam tempoh dua bulan dari tarikh tutup permohonan.

Maklumat lanjut di https://mdec.my/grants/mdag

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.