Peringatan Kim Swee kepada pemain Sabah
KUALA LUMPUR: Fikiran pemain Sabah FC jangan ‘melayang’ meskipun selesa mendahului dan perlu fokus terhadap permainan sehingga wisel penamat dibunyikan.
Menjelang aksi berdepan Kuching City FC malam ini, pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee enggan kelekaan pemain dihukum dengan jaringan seperti berlaku ketika berdepan Kelantan United, Rabu lalu.
Pada aksi di Stadium Likas itu, skuad Badak terlepas peluang menamatkan aksi dengan ‘bersih’ buat kali kedua berturut-turut apabila dibolosi saat akhir menerusi jaringan penyerang veteran, Indra Putra Mahayuddin untuk kedudukan 3-1.
“Pemain harus tahu apabila kita mendahului, kita harus pastikan bahawa kita tidak dibolosi.
“Jadi, perkara ini perlu diperbaiki dan mana mana pemain yang digantikan pun harus mengekalkan corak permainan kita. Semua pemain memikul tanggungjawab sama,” kata Kim Swee.
Sebagai rekod, Sabah FC ketika ini konsisten menerusi dua kemenangan berturut-turut ke atas dua pendatang baharu Liga Super iaitu PDRM FC (4-0) dan Kelantan United FC (3-1).
Mengulas lanjut pertembungan dengan Kuching City FC yang juga salah satu pendatang baharu, bekas pengendali skuad kebangsaan ini menjangkakan aksi yang berbeza berbanding dua perlawanan pertama mereka.
“Sudah tentu berbeza apabila bermain di tempat lawan tetapi yang penting adalah kita perlu berada pada tahap terbaik.Beraksi di hadapan penyokong lawan, kita harus bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku pada perlawanan itu nanti,” katanya.
Sponsored by Egroup88