Perang bendera makin rancak
KUCHING: Menjelang seminggu tarikh pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, perang bendera dilihat semakin rancak di sekitar bandar ini.
Tinjauan mendapati bendera, kain rentang serta poster meliputi pelbagai saiz semakin banyak memenuhi segenap lokasi di sekitar bandar ini.
Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai, perang bendera dapat dilihat membabitkan dua parti iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Situasi itu jelas dilihat di beberapa kampung di sepanjang Sungai Sarawak dari Kampung Boyan sehingga ke Kampung Bintawa Hilir.
Keadaan sama boleh dilihat di kawasan DUN Tupong apabila bendera GPS serta PKR dipasang memenuhi jalan raya di Jalan Matang dan laluan di sekitar Metro City.
Perang bendera turut meriah di sekitar pusat bandar terutama di DUN Padungan yang dipenuhi dengan bendera GPS, DAP serta Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Di bulatan berhampiran Jalan Padungan, bendera GPS dipasang membentuk struktur segi tiga di dalam kawasan bulatan berkenaan.
Sementara itu, di kawasan DUN Demak Laut memperlihatkan perang bendera antara calon bebas, Khairul Ahmat dengan bendera GPS.
Bendera mewakili Khairul yang berwarna biru dilihat banyak diletakkan di sepanjang jalan Kampung Tabuan selain bendera GPS di kawasan berkenaan.
Di kawasan DUN Pending pula menyaksikan monopoli bendera daripada GPS dan PSB di Tanah Puteh dan Sungai Periuk.
Selain itu, di DUN Batu Lintang pula menyaksikan perang bendera membabitkan GPS serta PKR yang boleh dilihat di beberapa jalan termasuk Jalan Rock dan Jalan Kereta Api.