Perancis tak kisah penyokong Argentina lebih ramai
DOHA: Juara bertahan, Perancis menegaskan bermain di hadapan penyokong yang tidak memihak kepada mereka pada aksi final Piala Dunia menentang Argentina, malam esok tidak akan memberi kesan terhadap misi mereka menjadi pasukan pertama dalam tempoh 60 tahun untuk mengekalkan trofi berprestij itu.
Argentina mungkin mendapat sokongan majoriti penyokong neutral dengan Lionel Messi mengidam trofi Piala Dunia pertamanya pada penampilan terakhir di kejohanan berkenaan pada usia 35 tahun.
Seramai 40,000 penyokong Argentina dijangka membanjiri Stadium Lusail untuk aksi final berkenaan manakala penyokong Perancis yang dijangka hadir adalah sekitar 6,000.
“Saya sedar bahawa Argentina akan mempunyai ramai penyokong di belakang mereka,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps, yang berharap untuk menjadi jurulatih pertama memenangi Piala Dunia berturut-turut sejak Vittorio Pozzo dari Itali pada 1930-an.
“Saya menjangkakan suasana perayaan dengan rakyat Argentina akan berada di belakang pasukan mereka.
“Mereka akan menyanyi dan sangat ekspresif. Itu bagus, ia adalah final Piala Dunia, tetapi lawan kami tidak berada di tempat duduk.”
Perancis berpeluang menjadi pasukan pertama sejak Brazil pada 1962 untuk mengekalkan Piala Dunia.
Kedua-dua pasukan tampil dengan misi memburu trofi Piala Dunia buat kali ketiga, dengan Argentina kali terakhir memenanginya pada 1986.
“Ia adalah objektif yang sama untuk kedua-dua pasukan. Salah satu daripada kedua-duanya akan mempunyai bintang ketiga pada baju mereka selepas perlawanan esok,” kata Deschamps.
Sementara itu, kapten, Hugo Lloris menegaskan Perancis tidak hanya fokus kepada Messi, dengan jurulatih Argentina, Lionel Scaloni dianggap sudah membina sebuah pasukan mantap bagi ‘menemani’ bintang sensasi berkenaan.
“Kami menyertai pertandingan ini untuk pergi sejauh mungkin. Ramai orang tidak mempercayai kami tetapi di sini kami kembali ke final sekali lagi,” kata Lloris, dengan Perancis tiba di Qatar tanpa beberapa pemain utama akibat kecederaan.
“Kami tahu apa yang Messi wakili dalam sejarah sukan kami tetapi ini adalah perlawanan antara Perancis dan Argentina. Kami akan melakukan segala-galanya untuk memenangi pertempuran terakhir ini.”
Perancis menewaskan Argentina dalam perjalanan mereka untuk memenangi Piala Dunia pada 2018, menang 4-3 apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam pusingan 16 terakhir.
Sponsored by Egroup88