Peniaga pasrah tinggalkan Kampung Jawa selepas berpuluh tahun beroperasi

MELAKA: “Hari ini hari terakhir saya berniaga di sini, rasanya terlalu sedih sebab hari-hari jumpa kawan, sekarang masing-masing dah berjauhan.

“Jika boleh nak dikekalkan macam ini semula, mana tahu ada (pihak) yang prihatin kumpulkan kami semula,” kata peniaga pakaian, Ratna Yulis.

Selama 41 tahun menjual pakaian termasuk uniform sekolah dan baju harian di pasar ikonik Kampung Jawa, di sini, beliau pasrah terpaksa ‘angkat kaki’ dan mencari kedai baharu berikutan tapak perniagaan di situ akan diambil pemaju selepas lebih 50 tahun beroperasi.

Sebelum ini pemaju memberikan kelonggaran kepada kira-kira 12 peniaga di situ untuk terus berniaga sehingga selepas Aidilfitri lalu biarpun notis awal penutupan pada 28 Februari.

Menurut Ratna Yulis, 64, pengalaman berniaga di situ amat istimewa kerana semangat perpaduan dan harmoni dalam kalangan peniaga berbilang bangsa.

“Walaupun ada peniaga Melayu dan Cina setakat ini tiada perselisihan berkaitan pelanggan dan jualan malah saling membantu. Jika kedai saya tiada produk diminta pelanggan, saya minta mereka cari di kedai rakan di bahagian dalam, begitulah sebaliknya.

“Semangat saling membantu inilah yang merapatkan hubungan kami sejak berpuluh tahun berniaga di sini. Buat apa nak marah atau dengki, sebab rezeki itu dari Allah SWT,” katanya ditemui ketika mengemas barangan jualan bersama keluarga di kedainya semalam.

Ratna berdoa kedai baharu yang disewa RM2,000 sebulan di Jalan Kee Ann akan mendapat sambutan pelanggan selepas ini.

Bagi Koh Lian Neo, 70, Kampung Jawa bukan sahaja tempat beli-belah barangan keperluan tetapi juga tapak warisan bagi negeri Melaka yang terkenal dan perlu dikekalkan.

“Sebut Kampung Jawa semua orang tahu bukan sahaja orang Melaka kerana kami jual barangan keperluan dengan harga murah.

“Bayangkan bawa RM200 boleh beli pakaian untuk satu keluarga atau satu set penuh barangan kelengkapan bayi berbanding di pasar raya walaupun kualitinya sama.

“Saya memang kecewa (penutupan), jika boleh kekalkan Kampung Jawa bukan untuk saya atau peniaga di sini saja tetapi untuk orang susah dan kurang berkemampuan,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Sulaiman Omar, 61, berkata, biarpun akur dengan penutupan Kampung Jawa, beliau masih buntu mencari premis perniagaan baharu kerana memerlukan kos sewaan tinggi.

Menurutnya, setakat ini enam daripada 12 peniaga Kampung Jawa belum mempunyai premis baharu.

“Saya sendiri belum dapat premis perniagaan baharu kerana yang ada semuanya sewa mahal dan semua barangan jualan terpaksa disimpan di rumah di Bukit Piatu.

“Dalam masa sama saya berharap kerajaan atau pemaju dapat bantu kami dari segi pampasan untuk logistik pemindahan barangan,” katanya.

Sementara itu, ketika tinjauan mendapati kebanyakan peniaga sibuk membungkus stok pakaian dan barangan jualan, biarpun masih ada pelanggan yang datang membeli belah.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.