Pengundian semula Pemilu 2024 di Kuala Lumpur berjalan lancar, terkawal
KUALA LUMPUR – Proses pengundian semula Pilihan Raya Umum Indonesia (Pemilu 2024) bagi seluruh kawasan Kuala Lumpur yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, pada Ahad, berlangsung dengan lancar dan dalam keadaan terkawal.
“Lancar, tidak ada gaduh-gaduh dan lebih lengang-lengang sepi,” menurut sumber Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.
Katanya, kira-kira 6,000 pengundi hadir untuk proses pengundian semula itu.
“Namun jumlah sebenar pengundi yang hadir di WTC hanya akan diketahui oleh penganjur proses pengundian semula Pemilu 2024 di Kuala Lumpur iaitu KPU (Komisi Pemilihan Umum),” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Pusat mengundi di WTC bagi warga Indonesia di perantauan sempena Pemilu 2024 merupakan yang terbesar di dunia.
Katanya, pengundian menerusi Kotak Suara Keliling (KSK) atau peti undi bergerak yang sepatutnya dibawa ke kilang-kilang, lokasi bekerja dan penempatan warganegara Indonesia di Malaysia tidak dapat dilaksanakan kerana ada tempat kerja yang ditutup pada Ahad kerana cuti hujung minggu.
Selain itu maklumat dari KPU mengenai proses pengundian semula yang dimaklumkan pada saat akhir menjadikan banyak pengundi tidak dapat hadir di WTC. Maka kertas undi dari KSK dijangka jauh lebih rendah, katanya.
Proses pengundian semula melibatkan 22 Tempat Pemungutan Suara (TPS) dan 120 KSK atau peti undi bergerak.
Antara yang mengundi pada proses pengundian semula hari ini ialah Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono.
Bernama pada Sabtu melaporkan Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur dalam satu hantaran di laman Facebooknya memaklumkan ia telah menerima pemberitahuan rasmi dari KPU Pusat Jakarta untuk mengadakan proses pengundian semula Pemilu 2024 bagi seluruh kawasan Kuala Lumpur.
Laporan media Indonesia menyatakan pengundian semula itu melibatkan 62,217 pengundi berdaftar terdiri daripada 42,372 individu yang akan mengundi di WTC dan 19,845 individu melalui peti undi bergerak di 120 lokasi.
Pengundian semula dilakukan selepas Polis Indonesia mendapati terdapat unsur jenayah pelanggaran pilihan raya membabitkan manipulasi data dan pemalsuan yang dilakukan oleh tujuh Panitia Pemilihan Luar Negeri Kuala Lumpur.
Sponsored by Egroup88