Pengamal media terjejas banjir dibantu
KLANG: Dalam kesibukan membuat liputan berita mengenai kejadian banjir yang melanda negeri ini, beberapa pengamal media juga tidak terlepas diuji dengan bencana itu.
Bukan sahaja banjir mencecah siling rumah, malah ada yang sukar untuk kembali bekerja apabila kelengkapan kerja seperti kamera, komputer rosak akibat ditenggelami air.
Rata-rata mereka mengakui sepanjang tinggal di Shah Alam, Klang serta Kuala Langat, banjir pada Disember tahun lalu adalah pertama kali seumur hidup mereka.
Jurugambar TV Selangor, Hanafi Mohamed, 53 tahun berkata, dia sekeluarga dikejutkan dengan bencana itu buat kali pertama sepanjang 21 tahun tinggal di Taman Sijangkang Permai, Kuala Langat.
“Kami sekeluarga bermalam di sebuah sekolah berhampiran bersama 14 keluarga lain selama empat hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
“Tetapi sehingga sekarang kami masih berjaga-jaga, bila hujan kami risau. Barang rumah pun kami letak dalam kotak plastik sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.
Hanafi antara 10 pengamal media yang terkesan akibat banjir ditemui di majlis ringkas bantuan banjir kepada pengamal media anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan kerjasama GM Klang, di sini hari ini.
Selain TV Selangor rakan media dari NSTP, BERNAMA, SINAR HARIAN serta RTM turut menerima sumbangan yang disampaikan oleh Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) Cawangan MPK, Azhar Samsudin dan Pengarah Urusan GM Klang Datuk Lim Seng Kok.
Sementara itu Azhar berkata, inisiatif yang dilakukan sebagai usaha menghargai peranan media yang tanpa jemu melaporkan berita walau dalam apa juga situasi.
“Ini satu daripada cara timbal balas selain mengekalkan hubungan media dengan MPK agar kerjasama dua hala terus berpanjangan.
“MPK serta ANULAE berkolaborasi dengan GM Klang dengan menyumbangkan keperluan harian, kelengkapan tidur, peralatan pembersihan juga makanan,” katanya.