Penduduk pindah jika air naik
BALING: Penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Kupang dan kawasan rendah diarah berpindah segera jika air semakin naik berikutan hujan lebat sejak petang tadi.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata arahan itu susulan hujan kerap pada waktu petang menyebabkan kawasan Kampung Iboi dinaiki air, selain air Sungai Chelak juga deras.
Beliau meminta penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan di tebing sungai berpindah segera kerana cuaca semakin buruk serta keadaan gelap di kawasan itu.
“Jangan tunggu sehingga air masuk dalam rumah kerana bimbang mereka terperangkap dengan cuaca gelap.
“Pindah segera ke tempat selamat dan bawa dokumen penting kerana nyawa lebih utama,” katanya.
Shamsudin berkata, taburan hujan tidak menentu menyebabkan semua pihak perlu berjaga-jaga dan memastikan keadaan terkawal dan selamat.
“Anggota keselamatan sentiasa memantau bagi memastikan keadaan terkawal dan meminta penduduk mematuhi arahan.
“Kita tidak dapat menjangka kemungkinan hujan di bukit lebat berbanding kawasan kampung menyebabkan berlaku banjir kilat,” katanya.
Shamsudin berkata, tidak dinafikan ada mangsa masih trauma dan takut apabila hujan lebat kerana bimbang berlaku tragedi 4 Julai lalu.
“Mangsa menjadi trauma kerana mereka tidak pernah alami bencana seperti itu dalam sekelip mata,” katanya.
Dalam kejadian 4 Julai lalu, lebih 500 keluarga di sekitar Kampung Iboi terjejas dalam kejadian banjir kilat dan kepala air sehingga mengorbankan tiga nyawa dan 17 rumah dihanyutkan air.
Sponsored by Egroup88