Pemimpin keluar tak jejas perpaduan

JOHOR BAHRU: Sepuluh Ketua Penerangan BERSATU bahagian Johor, sebulat suara mengutuk tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang keluar parti, pada Khamis dan semalam.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Ketua Penerangan BERSATU Pagoh, Ledang, Labis, Muar, Bakri, Batu Pahat, Sembrong, Segamat, Sri Gading dan Ayer Hitam.
“Kami mengutuk perbuatan ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang dan ADUN Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad yang keluar parti, selepas DUN Johor dibubarkan.
“Tindakan mereka ini bagaimanapun sudah dijangka, serta tidak menjejaskan perpaduan BERSATU Johor dan ukhuwah Perikatan Nasional (PN),” kata kenyataan berkenaan.
PN Johor hari ini dilaporkan, mengesyaki ada parti politik tertentu menjadi dalang berhubung tindakan beberapa ADUN gabungan itu yang mengumumkan keluar parti, sejak Khamis lalu.
Ketua Penerangan PN Johor, Mohd Solihan Badri, dilaporkan berkata tindakan berkenaan dipercayai untuk menjejaskan kewibawaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Semalam, Mohd Izhar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor itu mengumumkan keluar BERSATU berkuat kuasa serta merta.
Khamis lalu, Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tebrau, Mazlan Bujang, dilaporkan meletak jawatan ketua bahagian sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
Mazlan yang juga ADUN Puteri Wangsa dan bekas Pengerusi BERSATU Johor, menyokong kerajaan BN.
Dalam pada itu, 10 ketua penerangan bahagian BERSATU berkenaan turut menyambut baik ketetapan yang dibuat PAS untuk terus bersama BERSATU menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) atas nama PN.
Menerusi Resolusi Muzakarah PAS BERSATU dimeterai semalam itu, kedua-dua parti akan mengambil daya usaha untuk melonjakkan sokongan undi penentu dalam kalangan pengundi atas pagar dan anak muda melalui penjenamaan dan mesej jelas yang diterima rakyat.
“Semua 10 ketua penerangan BERSATU Johor turut mencadangkan supaya semua pihak khususnya parti politik di Johor merangka strategi ampuh bagi menggagalkan muslihat UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“UMNO dan BN dilihat semakin rakus, tamak kuasa dan gelojoh ingin mengadakan PRN Johor tanpa mengambil kira kesukaran.yang dialami oleh rakyat ketika masih berhadapan dengan ancaman wabak COVID-19,” katanya.

Sponsored by Egroup88