Pembela hak Iran dipenjara lapan tahun, sebat

PARIS: Mahkamah Iran menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan lebih 70 sebatan kepada pejuang hak asasi manusia terkemuka Narges Mohammadi, kata suaminya hari ini, susulan penahanan mengejutnya pada November lalu.

Suaminya, Taghi Rahmani, yang berpangkalan di Perancis dalam ciapannya di Twitter berkata, hukuman itu dijatuhkan selepas perbicaraan berlangsung hanya lima minit.

Butiran keputusan dan kes dihadapinya bagaimanapun masih tidak jelas.

Rakan sekerja pejuang Hadiah Keamanan Nobel, Shirin Ebadi, yang kini tinggal di luar Iran, Mohammadi sudah berulang kali dipenjarakan pihak berkuasa Iran sejak beberapa tahun lalu.

Beliau dibebaskan dari penjara pada Oktober 2020 tetapi ditahan semula November lalu, di Karaj di luar Tehran semasa menghadiri peringatan untuk seorang lelaki yang terbunuh semasa protes di seluruh negara pada November 2019.

Amnesty International ketika itu mengutuk penahanan ‘sembarangan’ Mohammadi dan menyifatkan beliau sebagai ‘sasaran semata-mata bagi aktiviti hak asasi manusia yang aman’.

Mohammadi yang sudah lama menentang hukuman mati di Iran, sebelum penahanan terbaharunya, bekerjasama dengan keluarga individu dikatakan dibunuh pasukan keselamatan dalam protes 2019 bagi mencari keadilan untuk mereka.

Walaupun ketika keluar dari penjara, beliau pada Mei 2021 dihukum 80 sebatan dan 30 bulan penjara atas tuduhan ‘propaganda’ terhadap sistem Islam Iran.

Aktivis mengecam peningkatan penindasan di Iran sejak beberapa bulan lalu, termasuk pemenjaraan pejuang dan penggunaan hukuman mati yang lebih luas.

Tahanan terkenal seperti penyair terkenal, Baktash Abtin juga meninggal dunia di penjara.

Seorang lagi pembela hak tertinggi menjalani hukuman panjang di Iran ialah peguam memenangi hadiah, Nasrin Sotoudeh yang membela wanita ditahan kerana membantah keperluan wanita Iran memakai hijab.

Walaupun beliau kini dipercayai keluar dari penjara kerana cuti sakit, penyokong bimbang risiko dikembalikan ke penjara dengan segera.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.