Pemandu lori positif dadah langgar tiga kenderaan

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori ditahan kerana didapati memandu di bawah pengaruh dadah selepas kemalangan dengan tiga kenderaan di lampu isyarat Jalan Bukit Permai, Ampang Jaya dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, lori dengan muatan pasir seberat 22 tan itu dalam perjalanan dari Hulu Langat ke Ampang dan dipercayai mengalami masalah brek ketika sampai di lampu isyarat Taman Sri Bayu itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata akibat kegagalan brek, pemandu lori hilang kawalan sebelum kenderaan berat itu melanggar dua kereta dan sebuah motosikal yang di parkir di bawah sebuah rumah kedai berhampiran.

“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan membabitkan pemandu lori atau orang awam yang berada di tempat kejadian.

“Kemalangan itu hanya menyebabkan semua kenderaan yang terbabit mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamad Faraouk, pemandu lori berusia 39 tahun itu dibawa ke Balai Trafik Ampang Jaya untuk pemeriksaan lanjut dan semakan mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah lampau tahun 2015.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu lori terbabit positif dadah jenis methamphetamine dan dia kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

“Permohonan reman ke atasnya akan dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, saksi bebas yang menyaksikan kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Navine Gunasegaran di talian 012-6436327.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.