Pemain United jangan ‘merengek’

MANCHESTER: Ralf Rangnick mahu anak buahnya supaya berhenti daripada ‘merengek’ dan teruskan kerja untuk pasukan.

Keyakinan pasukan sedang berada pada tahap terendah di bawah kendalian pengendali sementara yang menyaksikan United meraih tiga kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

Namun, dengan corak permainan kurang memberangsangkan, skuad mula bergolak terutama dalam kalangan pemain yang masa depannya tidak menentu bersama pasukan itu.

Rangnick bagaimanapun menegaskan sudah tiba masanya untuk melupakan isu terbabit, terima situasi yang berlaku dan bermain demi mendapatkan keputusan terbaik.

“Kami ada pemain yang kontraknya akan berakhir pada musim panas ini. Ada juga beberapa pemain yang mahu meninggalkan pasukan dan memiliki kontrak.

“Pemain perlu mengendalikan isu ini dengan profesional, semua pemain ada peluang membuktikan kemampuan masing-masing pada latihan dan peluang untuk diturunkan.

“Setakat ini, saya lihat pemain menguruskannya dengan profesional. Kalau itu tidak berlaku, saya sendiri akan bercakap dengan pemain itu.”

Dalam perkembangan lain, Rangnick turut mengesahkan pemain tengahnya, Paul Pogba terpaksa diketepikan untuk sebulan lagi sekali gus menimbulkan spekulasi mengenai masa depan pemain Perancis itu.

Dia mengalami kecederaan ketika menjalani latihan bersama Perancis dan bekas pengendali, Ole Gunnar Solskjaer menjangkakan pemain itu dapat kembali selepas Krismas.

Namun, Rangnick menjelaskan pemain itu akan terus diketepikan dan berkata ‘saya dimaklumkan (Pogba) perlu mengambil masa empat atau lima minggu lagi.’

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.