Peluru berpandu bedil Kyiv, Ukraine bersiap hadapi serangan Russia

KYIV: Bedilan peluru berpandu yang berterusan di ibu kota Ukraine hari ini menyebabkan ramai diselubungi ketakutan dan kekal di tempat perlindungan bom ketika tentera Russia meneruskan serangan.

Pihak berkuasa berkata, mereka sedang bersiap sedia untuk serangan yang bertujuan menggulingkan kerajaan Ukraine.

Siren serangan udara kedengaran kuat di ibu kota menempatkan tiga juta penduduk itu, dengan beberapa penduduk berteduh di stesen metro bawah tanah, sehari selepas Presiden Russia, Vladimir Putin, melancarkan perang.

Pegawai Ukraine berkata, sebuah pesawat Russia ditembak jatuh dan menghempas sebuah bangunan di Kyiv semalam, menyebabkannya terbakar serta mengakibatkan lapan individu tercedera.

Sementara itu, Majlis Bandar Raya Kyiv memberi amaran kepada penduduk daerah Obolon, berhampiran Hostomel, untuk terus berada di kediaman masing-masing kerana ‘serangan bertambah buruk’.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, dalam satu ciapan Twitter, berkata berlaku pertempuran hebat dengan ada individu terbunuh di pintu masuk ke bandar timur Chernihiv dan Melitopol selain di lapangan terbang Hostomel di pinggir barat laut Kyiv.

Kementerian Pertahanan Russia berkata lebih daripada 200 anggota unit khas Ukraine terkorban apabila tentera Russia menawan lapangan terbang berkenaan.

Menurut saksi, letupan kuat boleh didengari di Kharkiv, bandar kedua terbesar di Ukraine yang terletak berhampiran sempadan Russia, dengan siren serangan udara dibunyikan di Lviv.

Pihak berkuasa turut melaporkan pertempuran dahsyat di bandar timur Sumy.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.