Peluang Pearly-Thinaah raih gelaran pertama

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah berpeluang untuk menamatkan penantian mereka bagi merangkul gelaran pertama musim ini apabila membuat perhitungan dengan pilihan ketujuh dari Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti pada final Terbuka Hong Kong, esok.
Terdahulu, Pearly-Thinaah melangkah ke final kedua mereka tahun ini selepas mengatasi gandingan adik beradik dari Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard 21-13, 21-18 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Hong Kong Coliseum.
Apriyani-Siti Fadia pula mengesahkan tiket bagi pemburuan gelaran juara menerusi kemenangan ke atas Maiken Fruergaard-Sara Thygesen dari Denmark 21-16, 23-21.
Atas kertas, aksi final esok menyaksikan peluang seimbang buat kedua-dua pasangan apabila mereka terikat 2-2 berdasarkan rekod pertemuan dalam empat perlawanan sebelum ini.
“Sudah tentu semua pemain mahukan gelaran juara sama juga dengan kami tetapi kami tidak mahu terlalu teruja. Apa yang kami perlu lakukan adalah membuat persiapan terbaik untuk menghadapi aksi final,” kata Thinaah kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat aksi separuh akhir.
Menurut Thinaah, kejayaan melangkah ke final dianggap sebagai tonik buat mereka tetapi pada masa yang sama masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menjadi lebih konsisten.
“Kami masih belum berpuas hati dengan permainan kami dan perlu lebih konsisten dalam perlawanan. Namun, kemenangan hari ini memberi suntikan semangat untuk kami mengatasi masalah berkenaan dan diharapkan kami boleh kekalkan momentum untuk final nanti,” katanya.
Sebagai rekod, ini adalah pentas final kedua buat Pearly-Thinaah musim ini selepas muncul naib juara Masters Malaysia, Mei lalu.
Sponsored by Egroup88