PBB tubuh sayap khusus untuk orang muda
KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan meminda perlembagaan bagi membolehkan sayap baharu parti politik utama Sarawak itu ditubuhkan.
Presidennya, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata pindaan akan dibentangkan pada Persidangan Agung Tiga Tritahunan (TGM) PBB, Jun ini.
Beliau berkata, sayap baharu itu khusus untuk ahli parti antara 18 hingga 28 tahun.
“Ketika ini PBB mempunyai sayap Pemuda dan Wanita. Pada mesyuarat malam ini, Majlis Tertinggi PBB mencapai keputusan untuk menubuhkan satu lagi sayap untuk golongan belia.
“Bagaimanapun, sebelum menubuhkan sayap baharu itu, perlembagaan parti perlu dipinda,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam ini.
Abang Johari berkata, pihaknya belum memutuskan nama sayap baharu itu dan akan mengumumkannya selepas TGM kelak.
Selain penubuhan sayap baharu itu, antara perkara lain yang diputuskan pada mesyuarat itu ialah bantuan khas kepada rakyat Sarawak yang terjejas akibat banjir di Semenanjung.
“Rakyat Sarawak yang tinggal di Semenanjung yang terkesan akibat bencana banjir di beberapa negeri di sana baru-baru ini boleh mendapatkan bantuan menerusi Pejabat Rumah Sarawak di Kuala Lumpur,” katanya tanpa mendedahkan jumlah bantuan yang akan disalurkan.