Pasar pagi Orang Asli tawar hasil sungai, laut ‘tidak masuk akal’
JOHOR BAHRU – Hasil sungai dan laut sering dikaitkan dengan peniaga meletakkan harga yang mahal berikutan kesukaran untuk mendapatkannya apatah lagi jika penjualannya di kawasan bandar dan menjadi tumpuan pelancong.
Bagaimanapun ia berbeza di Pasar Pagi Orang Asli Bakar Batu yang terletak di Permas Jaya di sini, dengan peniaganya terdiri dalam kalangan masyarakat Orang Asli yang menawarkan harga jauh lebih murah dan tidak masuk akal.
Keadaan itu menyebabkan pencinta hasil sungai dan laut sanggup datang dari jauh ke pasar berkenaan, meskipun waktu pengoperasiannya hanya selama dua jam bermula 8 pagi hingga 10 pagi kerana terdapat penawaran harga serendah RM4 sekilogram.
Seorang peniaga, S Kristina, 36, berkata, seawal jam 6.30 pagi dia turun ke sungai atau laut bagi mencari sebanyak mungkin hasil untuk dijual di pasar berkenaan kerana dia lebih gemar menyajikan hasil segar kepada pembeli, malah tidak sedikit ada rasa ralat meletakkan harga jauh lebih murah.
“Sudah lima tahun saya menjadi nelayan dan ini merupakan pekerjaan utama saya bagi menyara keluarga. Dapat sahaja hasil tangkapan, saya akan terus ke sini untuk berniaga. Kebanyakan pembeli menyatakan harga yang ditawarkan tidak masuk akal.
“Saya tidak kisah meletakkan harga yang murah, asalkan ada pengunjung mahu membelinya. Paling penting rasa kepuasan dan sangat bersyukur apabila melihat orang ramai membeli hasil sungai dan laut yang kami jual,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Kristina yang merupakan Orang Asli Seletar berkata, pendapatannya menerusi hasil jualan di pasar tersebut sebelum ini pernah mencecah sehingga RM300 sehari, namun keadaan itu berubah tatkala negara berdepan dengan penularan Covid-19.
“Apabila Covid-19 melanda, pengunjung semakin lama semakin kurang sehinggakan nak dapatkan RM200 sehari pun susah dan ada kalanya hanya dapat RM30 sahaja, syukur sekarang keadaan sudah kembali seperti sediakala,” kata ibu kepada empat orang anak itu.
Tinjauan Bernama mendapati pelbagai hasil sungai dan laut segar didaratkan setiap hari seperti kupang, udang, tiram, ikan banang susu, ikan belukang, ketam, ikan kitang, ikan daun baru dan bermacam lagi hidupan marin lain terdapat di Tapak Khas Jualan Hasil Laut Orang Asli itu.
Sponsored by Egroup88