Omicron mungkin varian dominan di Eropah pertengahan bulan depan

STRASBOURG: Ketua Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen, memberi amaran Omicron dijangka menjadi varian COVID-19 dominan di Eropah bulan depan.

Bagaimanapun, tambah beliau, 27 blok negara Kesatuan Eropah (EU) mempunyai vaksin mencukupi untuk memerangi wabak berkenaan.

“Jika dilihat pada masa yang diambil untuk kes baharu meningkat dua kali ganda, nampaknya Omicron meningkat dua kali ganda setiap dua atau tiga hari dan ia berlaku secara meluas.

“Kami diberitahu bahawa menjelang pertengahan Januari, dijangkakan Omicron menjadi varian dominan baharu di Eropah.

“Bagaimanpun, sepanjang tahun lalu, kita semua bekerja keras dan mencapai banyak perkara dan kerana itulah Eropah berada dalam kedudukan lebih baik sekarang untuk memerangi virus ini,” katanya kepada Parlimen Eropah, dengan merujuk data saintifik.

Von der Leyen menegaskan terdapat ‘dos vaksin yang mencukupi untuk setiap rakyat Eropah ketika ini’ kerana negara EU berusaha untuk memberikan suntikan penggalak bagi memerangi varian Omicron yang menular secara pantas.

“Ketika ini, kami akan mengeluarkan 300 juta dos vaksin setiap bulan di Eropah kerana mempunyai kontrak yang memberi jaminan perolehan vaksin sebaik saja ia disesuaikan dengan varian baharu secepat mungkin.

“Kami turut diberitahu, masa sekitar 100 hari diperlukan untuk menyesuaikan vaksin untuk menangani sebarang varian baharu,” katanya.

Setakat ini, kata Von der Leyen, 66.6 peratus daripada penduduk EU sudah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 dan 62 juta sudah menerima suntikan dos penggalak.

Tambahnya, antara perkara utama yang diberi penekanan ketika ini adalah bagi meningkatkan kadar vaksinasi keseluruhan termasuk dalam kalangan kanak-kanak dan blok itu perlu menangani isu berkaitan ‘keraguan terhadap vaksin’.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah dalam laporan terbarunya semalam memberitahu, 2,127 kes Omicron disahkan di EU dan segelintir negara rakan kongsinya, dengan jumlah terbesar di Denmark, Norway, Perancis, Jerman dan Belgium.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.