Nurul Izzah raih emas keirin ACC

KUALA LUMPUR: Pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri membuktikan dirinya layak bergelar ‘The Pocket Rocketwoman’ selepas memenangi pingat emas acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, India, hari ini.

Pada aksi final yang berlangsung di Velodrom Indira Gandhi itu, Nurul Izzah, 21, mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menjadi pelumba pertama yang melintasi garisan penamat.

Dia mengatasi pencabar terdekatnya dari China, Tong Mengqi yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala gangsa acara itu menjadi milik seorang lagi pelumba negara, Anis Amira Rosidi.

Sebagai rekod, emas yang dimenangi Nurul Izzah, hari ini adalah pingat peribadi ketiganya dalam kejohanan kali ini selepas meraih perak dalam acara pecut berpasukan bersama Anis dan Nur Aliana Syafika Azizan selain gangsa bagi acara pecut individu.

Nurul Izzah Izzati (kanan) ketika meraih perak dalam acara pecut berpasukan wanita. - Foto ihsan MSN
Nurul Izzah Izzati (kanan) ketika meraih perak dalam acara pecut berpasukan wanita.

Sementara itu, acara keirin lelaki menyaksikan hanya seorang pelumba negara layak beraksi di pentas final iaitu Muhamad Ridwan Sahrom tetapi dia gagal meraih pingat apabila menamatkan perlumbaan di tempat kelima.

Sandaran negara yang juga abang kepada Ridwan, Muhammad Shah Firdaus berdepan nasib malang apabila gagal ke final yang menyaksikan dia terpaksa bersaing dalam penentuan tempat ketujuh hingga ke-12 dan menamatkan aksi di kedudukan kelapan.

Emas acara itu menjadi milik pelumba Jepun, Kento Yamasaki diikuti Li Zhiwei dari China yang merangkul perak manakala gangsa dimenangi pelumba Hong Kong, Yung Tsun Ho.

Dalam pada itu, saingan kategori para menyaksikan gandingan negara, Ahmad Ahlami Mohamad-Khairul Adha Rasol (jurumudi) meraih emas selepas menewaskan rakan sepasukan Khairul Hazwan Wahab-Arfy Qhairant Amran (juru terbang) dalam final pecut tandem (B) lelaki.

Malaysia turut meraih emas dalam acara pecut tandem (B) wanita menerusi Nur Azlia Syafinaz Zais-Farina Shawati Adnan (jurumudi) yang menewaskan Nur Suraiya Zamri-Nurul Suhada Zainal (juru terbang) dalam final yang turut membabitkan perhitungan antara dua wakil negara.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.