New Zealand bersikap lebih tegas terhadap China
SYDNEY: New Zealand dilihat mengambil pendirian lebih keras terhadap Beijing, terutama berhubung kebimbangan peningkatan pengaruh China di rantau Pasifik.
Pendirian itu dapat dilihat menerusi Penilaian Pertahanan 2021 negara berkenaan yang disiarkan bulan ini, di mana New Zealand melihat kebangkitan China lebih kepada ancaman berbanding peluang.
Laporan setebal 36 muka surat itu menyimpulkan mengenai ancaman republik itu dan memberi amaran bahawa China yang semakin berkuasa hanya mengejar kepentingannya.
“Beijing sedang berusaha membentuk semula sistem antarabangsa untuk menjadikannya lebih serasi dengan model tadbir urus dan nilai nasional serta mahu China diiktiraf sebagai pemimpin global,” menurut laporan itu.
Malah, laporan itu mencadangkan bahawa Wellington percaya ancaman keselamatan dari China semakin dekat dengan negara sendiri.
New Zealand, yang meraikan identitinya sebagai negara di kepulauan Pasifik, turut memberi amaran bahawa Beijing cuba meningkatkan kekuatan ketenteraannya di rantau berkenaan.
Tanpa menamakan China, laporan itu menyatakan bahawa antara perkembangan yang mengancam dan menjejaskan keselamatan negara Kiwi itu ialah pembukaan pangkalan tentera atau kemudahan dwi-guna di Pasifik oleh negara yang tidak berkongsi nilai dan kepentingan keselamatan dengan New Zealand.
“Pembangunan sedemikian secara asasnya akan mengubah keseimbangan strategik rantau ini,” katanya.
Pada 2018, New Zealand mengikut tindakan Australia menyekat firma telekomunikasi China, Huawei, daripada membekalkan peralatan kepada rangkaian mudah alih 5G negara itu.
Dua tahun kemudian, New Zealand turut menggantung perjanjian ekstradisi dengan Hong Kong berikutan kebimbangan langkah China melaksanakan sistem undang-undang yang tidak memberi kebebasan secukupnya kepada Hong Kong.