‘Netanyahu tak kompeten, wajar letak jawatan’
TEL AVIV – Penunjuk perasaan Israel berarak dan berhimpun di luar Knesset (Parlimen) di Baitulmaqdis pada Selasa sambil melaungkan slogan mendesak Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu meletak jawatan di tengah-tengah peperangan yang semakin ganas ke atas Genting Gaza.
Kumpulan protes itu berpendapat Netanyahu dengan nama julukan ‘Bibi’ tidak lagi layak untuk menggalas tanggungjawab tersebut dan pemimpin Parti Likud itu turut dipersalahkan atas konflik yang berlarutan selama enam minggu.
“Selagi beliau pegang jawatan, ia hanya akan membahayakan kami dan anggota tentera. Netanyahu wajar berundur,” laung salah seorang penunjuk perasaan.
Seorang lagi peserta protes juga membuat gesaan sama.
“Jika bercakap tentang perpaduan, adalah lebih baik tanpa Netanyahu. Keputusan terbaik adalah beliau melepaskan jawatannya secepat mungkin.
“Beliau tidak lagi kompeten dan tidak mementingkan kepentingan Israel. Apa yang penting pada beliau adalah mempertahankan jawatannya sebagai perdana menteri yang sarat kontroversi,” ujarnya secara sinis.
Kebanyakan penunjuk perasaan juga secara terang-terangan menuding jari menyalahkan Netanyahu kerana konflik Hamas-rejim Zionis yang kini memasuki fasa lebih ganas.
Sejak memimpin semula kerajaan ‘ekstremis’ tersebut pada tahun lalu, Netanyahu terus berdepan siri protes mingguan dan popularitinya semakin merudum selepas banyak pihak mula mempertikaikan kredibilitinya, malah tergamak membunuh orang awam tidak berdosa di Gaza demi mencapai matlamat tidak pasti untuk menghapuskan Hamas.
Data terkini dikeluarkan Hamas yang mentadbir Gaza pada Selasa menunjukkan angka korban kezaliman rejim Zionis di wilayah itu telah meningkat lebih 11,300 orang manakala kira-kira 29,000 yang lain cedera.
Sponsored by Egroup88