Nahas kereta api India: Angka korban hampir 300, pemimpin asing ucap takziah

NEW DELHI: Beberapa pemimpin asing menzahirkan ucapan takziah susulan angka kematian akibat kemalangan kereta api di timur India kini mencecah hampir 300 orang.

Turkiye, Britain, Pakistan, Jepun, Kesatuan Eropah (EU), Australia dan Sri Lanka antara yang melahirkan rasa simpati terhadap mangsa insiden berkenaan.

“Saya amat sedih menerima berita kehilangan nyawa yang ramai dan mangsa yang cedera akibat kemalangan kereta api di negeri Odisha,” kata Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida.

“Kami bersama rakyat India pada saat duka ini. Eropah berkabung bersama anda,” kata Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen.

“Imej dan laporan kemalangan kereta api di Odisha, India mematahkan hati saya. Saya menyampaikan ucapan takziah kepada mereka yang kehilangan orang tersayang,” kata Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau.

Perdana Menteri India, Narendra Modi pada Sabtu mempengerusikan mesyuarat dihadiri Menteri Dalam Negeri, Amit Shah dan pegawai kanan bagi membincangkan kesan perlanggaran antara Ekspres Coromandel ke Chennai dan kereta api Yesvantpur-Howrah Superfast di daerah Balasore Odisha.

“Aspek berkaitan operasi menyelamat, bantuan dan rawatan perubatan kepada mereka yang terjejas dibincangkan dalam mesyuarat semakan,” menurut Pejabat Perdana Menteri.

Modi kemudian melawat Odisha bagi meninjau lokasi kejadian.

Ratusan anggota penyelamat, 200 ambulans, 50 bas dan 45 unit kesihatan dikerah ke lokasi kemalangan, lapor media tempatan.

Pasukan penyelamat di sekitar kawasan nahas tiga kereta api yang mengorbankan hampir 300 nyawa. - AFP
Pasukan penyelamat di sekitar kawasan nahas tiga kereta api yang mengorbankan hampir 300 nyawa.
Mayat mangsa nahas kereta api diletakkan di luar sebuah sekolah yang dijadikan pusat menyimpan mayat di daerah Balasore di negeri timur Odisha, India. - REUTERS
Mayat mangsa nahas kereta api diletakkan di luar sebuah sekolah yang dijadikan pusat menyimpan mayat di daerah Balasore di negeri timur Odisha, India.

“Jawatankuasa peringkat tinggi akan meneliti punca kemalangan kereta api ini,” kata Menteri Kereta Api, Ashwini Vaishnaw, kepada pemberita pada Sabtu.

Angka kematian setakat ini kira-kira 300 orang, manakala jumlah penumpang yang cedera melebihi 900.

Ini kemalangan kereta api ketiga paling teruk pernah berlaku di India.

Kira-kira 800 maut dalam kemalangan kereta api pada 1981 apabila banyak koc tergelincir ke dalam sungai di timur negeri Bihar.

Pada 1995, sekurang-kurangnya 358 orang terbunuh akibat dua kereta api bertembung di daerah Firozabad, negeri Uttar Pradesh.

Kemalangan sama turut berlaku di negeri Bengal Barat pada 1999 hingga mengorbankan lebih 285 nyawa.

Kemalangan pada Jumaat mengejutkan negara, dengan ramai menuntut pembiayaan dan standard keselamatan lebih baik untuk rangkaian rel kereta api sepanjang 67,000 km itu.

“Kami mempunyai banyak soalan untuk ditanya kepada perdana menteri dan menteri kereta api, tetapi hal itu boleh ditunda kerana tugas segera adalah menyelamat dan membantu,” kata ketua Kongres Kebangsaan India, Mallikarjun Kharge.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.