Mohamad ketuai delegasi Malaysia ke AMM di Laos

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) dari 28 hingga 29 Januari ini di Luang Prabang, Laos.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan malam ini berkata, Sesi Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN adalah mesyuarat berjadual pertama bagi negara anggota ASEAN tahun ini.

Laos adalah Pengerusi ASEAN bagi 2024.

Pemukiman AMM itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Laos, Saleumxay Kommasith, dengan penyertaan Menteri-menteri Luar ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN dan Menteri Luar Timor-Leste sebagai Pemerhati ASEAN.

Menurut Wisma Putra, Pengerusi ASEAN dijangka memberi taklimat mengenai keutamaan dan keberhasilan kepengerusian Laos bertema “ASEAN: Enhancing Connectivity and Resilience”.

“Menteri-menteri Luar akan membincangkan pelaksanaan dan tindakan susulan terhadap keputusan-keputusan yang dicapai semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 pada September 2023 di Jakarta, hubungan luar ASEAN, serta pertukaran pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama,” kata kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, AMM akan memberi peluang baik kepada Malaysia dan anggota ASEAN lain mengukuhkan usaha ASEAN ke arah membina Komuniti ASEAN yang inklusif, mampan dan berdaya tahan.

“Ini menjadi semakin penting berikutan pelbagai cabaran yang semakin rumit kesan daripada dinamik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.

Mohamad juga akan mengambil peluang mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya bagi membincangkan isu-isu pengukuhan ASEAN dan hubungan dua hala.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.