Messi, Ronaldo tidak mahu jadi rakan sepasukan
PARIS: Paris Saint Germain (PSG) dilaporkan tidak akan menandatangani Cristiano Ronaldo memandangkan dia dan seterunya, Lionel Messi tidak mahu bermain bersama.
SunSport mendedahkan penyerang berusia 37 tahun itu mahu meninggalkan Manchester United sekiranya pasukan itu gagal layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Jika dia meninggalkan Old Trafford, beberapa pasukan seperti PSG, Bayern Munich dan Roma menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmatnya.
Selain risau dengan kedudukan United di tangga keempat yang agak goyah, Ronaldo turut bimbang dengan sikap beberapa rakan sepasukannya selepas pasukan itu bergelut dengan masalah prestasi ketika ini.
Perpindahan ke Les Parisiens mungkin adalah pilihan yang wajar sekiranya Kylian Mbappe menuju ke Real Madrid.
Namun menurut Gianluca Di Marzio, perpindahan itu tidak akan berlaku kerana Ronaldo dan Messi tidak mahu menjadi rakan sepasukan.
Mengulas mengenai prospek perpindahan itu, pakar dalam perpindahan pemain itu berkata ‘saya tidak rasa Messi mahu bermain dengan Ronaldo dan Ronaldo juga tidak mahu bermain dengan Messi.
“Saya juga berpendapat PSG tidak mahu pasangan itu bergandingan kerana hubungan mereka yang tidak berapa baik.
“Kejutan sentiasa ada dalam bola sepak tetapi saya jangka perpindahan itu tidak akan terjadi.”
Di Marzio turut menambah kehadiran Ronaldo ke dalam pasukan yang sudahpun membariskan Messi dan Neymar akan mencetuskan masalah dalam bilik persalinan.
“Ini kerana Messi dan Ronaldo adalah ‘primadona.’ Mereka mahu jadi yang pertama dan tidak mungkin kedua-dua pemain itu bersama.
“Begitu juga dengan Neymar tetapi hubungannya baik dengan Messi. Menambah Ronaldo dalam pasukan, saya tidak rasa PSG mahu menimbulkan masalah dalam bilik persalinan.
“Malah keadaan juga akan menjadi sukar di atas padang. Memiliki ketiga-tiga pemain seperti mereka akan memberi kesukaran kepada jurulatih,” tambahnya.
Sponsored by Egroup88