Menyamar penjual susu lembu sebelum samun rantai emas
IPOH: Polis sedang memburu seorang lelaki yang menyamar sebagai penjual susu lembu yang dipercayai terbabit dengan kes samun membabitkan kehilangan dua utas rantai emas milik seorang tukang jahit, dalam kejadian di Tanjung Rambutan, 8 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata dalam kejadian sekitar jam 9.10 pagi itu, wanita berusia dalam lingkungan 38 tahun itu didatangi suspek yang dipercayai warga tempatan.
“Semasa sedang berurusan, suspek secara tiba-tiba bertindak agresif menolak mangsa dan menarik rantai emas miliknya itu.
“Suspek sempat mengugut untuk mencederakan mangsa jika menjerit meminta pertolongan, sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Yahaya berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian berkenaan.
“Dua utas yang hilang itu adalah rantai perkahwinan dan rantai pemberian bapa mangsa, dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sponsored by Egroup88