Mendayung mula tuai emas
UBON RATCHATHANI: Kem mendayung negara membuka kempen Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 dengan positif apabila menuai satu pingat emas dan satu pingat gangsa pada hari pertama acara itu dipertandingkan.
Emas sulung mereka diraih hari ini menerusi Mohammad Amirul Norhadi dalam acara lightweight scull individu lelaki dengan catatan 3 minit 48 saat.
Catatan itu membolehkan Pelajar Universiti Selangor (UNISEL) itu meraih emas meninggalkan atlet Filipina, Joseph Christian (3:52:06) untuk pingat perak sementara gangsa milik wakil Thailand, Siwakorn Wongpin (3:57:53).
“Saya sangat gembira dengan pencapaian yang diraih Mohammad Amirul dalam acara yang disertainya. Ini kerana atlet yang bertanding dalam acara itu bukan biasa-biasa kerana ada antara mereka yang pernah menyertai Sukan Olimpik dan kejohanan dunia.
“Jadi saya harap pingat emas diraih mampu membakar lagi semangat atlet mendayung yang akan beraksi selepas ini untuk mempamerkan aksi yang lebih baik sekaligus mampu menyumbang pingat untuk Malaysia,” kata pengurus pasukan, Shaid Jaffar.
Bagaimanapun, hasrat Malaysia menambah satu lagi pingat emas tidak kesampaian apabila gandingan Nurul Amira Norhadi- Ayesha Mohd Ramli menamatkan saingan di tempat ketiga acara lightweight double scull wanita dengan catatan masa 4:27.97 saat.
Emas acara itu dimenangi Filipina dengan catatan masa 4:06.05 saat manakala perak dimenangi Thailand (4:12.30 saat).
Sponsored by Egroup88